Showing posts with label Urus Emosi Anak. Show all posts
Showing posts with label Urus Emosi Anak. Show all posts

Friday, November 30, 2018

Tiga tips untuk ibu bapa kepada anak Sanguin

Teks: Yasmin Ismail.

Anak Sanguin adakalanya tertekan dengan situasi mereka. Apabila ini berlaku, ibu bapa kadang-kadang tidak memahami stres anak Sanguin. Ibu bapa juga tidak peka tentang cara untuk mengawal tekanan anak Sanguin.

Sebelum terjadinya tekanan atas anak Sanguin, ada tiga tips yang ibu bapa boleh amalkan untuk mengelaknya.

1. Buatkan kejutan yang indah dan menyeronokkan.

2. Sokong dan dimana perlu bantu anak Sanguin berkawan.

3. Berseronok dengan anak Sanguin dalam aktiviti yang mereka suka.


Monday, November 26, 2018

Bersyukurlah jika anak anda seorang Melankolik

Teks: Yasmin Ismail

Bersyukurlah jika anak anda seorang Melankolik kerana mereka memahami dunia yang lebih besar dan mahu membawa kebaikan kepadanya.

1. Walaupun anak-anak Melankolik selalunya serius, ianya bukanlah masalah besar. Jika layanan ibu bapa kepada mereka juga serius dan tidak merendah-rendahkan, anak-anak Melankolik akan merespons dengan lebih ceria.

2. Mereka perlukan masa untuk menyepi dan bersendiri dan dalam waktu itu mereka mempunyai upaya untuk melakukan koreksi diri sendiri dan mencapai keseimbangan emosi.

3. Anak-anak Melankolik tulus dan jujur dalam mengatakan hal yang benar. Mereka pandai menyampaikan buah fikiran mereka secara tepat dan ringkas. Ibu bapa tidak dibuat tertanya-tanya akan apa yang berada disanubari mereka.

4. Secara semulajadinya mereka pendiam dan tidak peramah. Mereka adalah pemikir berat dan kita perlukan fikiran reflektif mereka. Walaubagaimanapun, persahabatan yang sedikit yang mereka bina sangat utuh.

5. Mereka cepat menangkap kesilapan yang di lakukan oleh ibu bapa dan orang sekeliling mereka. Kelebihan yang ada pada mereka ialah mereka mudah mengesan masalah yang timbul dan jalan penyelesaiannya.

6. Memberi tumpuan yang tinggi ialah bakat mereka dan mereka bersemangat untuk menambah baik dan menambah nilai semua perkara. Seringkali mereka terlalu fokus dan tidak menghiraukan apa yang berlaku disekeliling.

7. Oleh kerana corak pemikiran mereka hanya dua iaitu hitam atau putih sahaja, anak-anak ini mempunyai pendirian yang tegas dalam apa jua yang mereka putuskan.

Bersyukurlah jika anak anda Flegmatik

Teks: Yasmin Ismail

Bersyukurlah jika anak anda Flegmatik kerana ia menolong anda berhubung dengan emosi anda.

1. Anak-anak Flegmatik mudah tersentuh dan menangis oleh kerana banyak perkara. Hormatilah jiwa mereka yang halus dan ia juga membawa kehalusan dalam emosi ibu bapa juga.

2. Suara mereka yang lembut akan membawa anda ke satu mood yang damai.

3. Mereka sangat teliti tentang sekecil-kecil butiran dan ketelitian ini sangat bermakna bagi kehidupan yang selesa.

4. Mereka bergerak dengan kadar sederhana dan tidak tergesa-gesa. Ini memberi ketenangan kepada ibu bapa dalam tugas seharian menguruskan keluarga.

5. Mereka berbakat membuat rancangan yang teliti dan difikirkan dari semua aspek dengan penuh timbang rasa.

6. Segala keputusan yang perlu mereka ambil akan di timbang dengan saksama dan teratur. Mereka tidak tergopoh-gapah dan selesa mengambil masa.

7. Mereka berperawakan lemah-lembut dan tenang, namun mereka lambat untuk menjadi mesra dengan orang yang baru dikenali.

Bersyukurlah jika anak anda Kolerik

Teks: Yasmin Ismail

Bersyukurlah jika anak anda Kolerik kerana mereka mengekalkan anda dalam keadaan aktif.

1. Anak-anak Kolerik suka meneroka banyak benda dan asa ingin tahu dan belajar yang sangat tinggi.

2. Mereka bersuara lantang dan secara fitrah berani tampil dan berpidato.

3. Dengan berani dan yakin mereka terjun dalam apa jua bidang yang diminati. Mereka tidak takut meengambil risiko dan melakukan kesilapan.

4. Mereka mempunyai tekad yang kuat apabila mereka sudah meletakkan matlamat dan mereka tidak hairan jika ditegah atau dilarang oleh ibu bapa.

5. Mereka perlu bergerak berterusan untuk maju dan selalunya mereka berbuat sesuatu untuk menarik perhatian dan mendapat reaksi dari ibu bapa.

6. Walaupun mereka tidak teliti dengan butiran-butiran yang kecil, semangat untuk berjaya di dalam diri mereka sangat tinggi.

Ciri-ciri anak Melankoli

Teks: Yasmin Ismail

Melankoli ialah anak yang serius. Mereka terlihat sangat matang kerana cara mereka mengenali dunia ialah melalui daya intelek. Mereka cepat memahami situasi-situasi orang dewasa yang tidak mudah dijelaskan kepada kanak-kanak. Mereka banyak menggunakan pemerhatian, pengkajian, pembacaan dan penelitian untuk mengetahui satu perkara. Oleh kerana mereka banyak introspeksi, maka anak-anak Melankoli boleh duduk diam dalam kesepian dalam jangkawaktu yang lama.

Anak-anak Melankoli sangat tulus dan berterus-terang. Mereka mengatakan sesuatu perkara dengan tepat dan tidak suka berbasa-basi. Kesan dari ini, orang-orang disekeliling mereka kadang-kadang berasa tidak selesa dengan kejujuran mereka yang tidak berlapik walaupun ianya satu kebenaran.

Antara kekuatan yang ditunjukkan oleh anak-anak Melankoli ialah cekap, analitik dan buat kerja sampai habis dengan cermat. Mereka berasa dihargai apabila penghormatan diberi dan diterima.



Ciri-ciri anak Kolerik

Teks: Yasmin Ismail

Meninjau personaliti anak Kolerik, ibu bapa akan mendapati anak yang aktif dan bersemangat. Tidak mudah putus asa, anak-anak Kolerik mempunyai matlamat yang jelas dan tiada masalah dalam motivasi diri sendiri untuk mengapai matlamatnya.

Mereka berhubung dengan dunia secara fizikal dan mereka menggunakan sepenuhnya kelasakan dan keberanian mereka untuk pengalaman baru. Usaha mereka yang gigih dan tidak mengenal erti mengalah ini dilihat sebagai suatu aset yang besar. Mereka juga anak-anak yang suka menonjol dan tidak segan-silu mempertontonkan hasil usaha mereka.

Selalunya sibuk dengan kerja mereka, bertenaga dan berterusan berusaha, anak-anak Kolerik sering dilabel anak yang mempunyai iltizam yang tinggi. Mereka ialah ketua yang menyusun permainan dalam kalangan kawan-kawan sepermainan dan ketegasan mereka patut dicontohi personaliti lainnya.




Ciri-ciri anak Flegmatik

Teks: Yasmin Ismail

Anak-anak Flegmatik ialah anak yang sensitif, tapi bukan bermakna mereka ini mudah tersinggung. Sensitif disini ialah kemahiran emosi yang lahir secara naluri iaitu mereka sangat prihatin kepada emosi orang lain. Mereka lebih dahulu tahu jika ibu bapa merasa sedih, tertekan, gembira atau bahagia. Dikala ibu bapa berasa stres, anak yang menghulurkan empati ialah anak-anak Flegmatik.

Ini berlaku kerana mereka meneroka dunia mereka melalui perasaan dan emosi mereka. Sesuatu yang orang lain anggap biasa akan memberi kesan yang mendalam kepada anak Flegmatik. Mereka memerlukan emosi mereka diakui dan juga keluarga yang saling berkomunikasi.

Mereka kerap digambarkan sebagai lemah-lembut, prihatin dan bertanggung-jawab. Anak-anak Flegmatik mempunyai perwatakan yang lembut danmenyenangkan semua orang. Mereka selalunya senang bergaul dan mudah diajak berbincang.

Ciri-ciri anak Sanguin

Teks: Yasmin Ismail

Anak-anak Sanguin sangat penyayang dan kita sebagai ibu bapa dan penjaga dapat merasa kegembiraaan mereka kerana ia dizahirkan dengan tulus dan jujur. Mereka cintakan keceriaan dan dengan natural mereka suka menerbitkan kebahagiaan dalam hati orang lain.

Secara semulajadi, anak-anak Sanguin meneroka lingkungan mereka secara sosial. Mereka peramah dan mudah mesra dengan semua orang. Selalu tersenyum, anak-anak Sanguin mengagah dan melangkah seumpama rerama mencari bunga.

Berseronok dalam apa jua keadaan adalah penting bagi mereka dan mereka mendambakan ibu bapa yang gembira juga. Anak-anak Sanguin selalu dilihat sebagai peramah, senang hati dan ceria. Mereka juga optimis dan mempunyai banyak akal dan buah fikiran.


Punca-punca tantarum anak-anak Melankoli

Teks: Yasmin Ismail

Anak-anak Melankoli ialah anak-anak yang paling kurang menunjukkan perasaannya. Biasanya kalau ada anak yang dilabel 'tak ada perasaan', besar kemungkinan anak itu adalah anak Melankoli. Apa yang tidak difahami ramai ialah bukannya anak Melankoli tidak mempunyai perasaan, tetapi mereka adalah juara mengendali emosi mereka sehingga ternampak seolah-olah mereka seperti patung bernyawa.

Kebiasaannya anak-anak Melankoli banyak memerhati kelakuan orang lain dan mereka belajar dengan cara pemerhatian, hasil bacaan dan analisa perasaan mereka. walaupun kelihatan tidak berperasaan, sebenarnya banyak yang berlaku di dalam dunia mereka yang terletak diminda Melankoli.

Anak-anak Melankoli tidak akan cepat melenting tetapi jangan disangka mereka boleh dibuli atau diperkotak-katik. Tahap kesabaran mereka juga ada hadnya dan mereka akan menunjukkan taring apabila:-

1. Mereka berasa tidak dihormati. Rasa hormat yang ditunjukkan oleh orang sekeliling anak-anak Melankolik sangat penting bagi mereka. Mereka akan membalas penghormatan yang diberikan kepada mereka dengan penghormatan yang berlipat ganda. Justeru mereka akan berasa tersisih dan kecewa jika mereka direndahkan.

2. Jika mereka tidak diberi masa dan ruang untuk muhasabah diri, merenung kembali atau fokus tentang sesuatu dengan tenang. Anak-anak Melankoli tidak memerlukan dunia luar untuk meneroka, cukup saja dengan minda mereka. Keadaan yang kucar-kacir, hinggar-binggar dan bingit akan mengacau penyusunan pemikiran yang mereka lakukan sepanjang masa.

3. Sesuatu yang menyebabkan anak-anak Melankolik berasa malu sangat memberi tekanan kepada mereka. Anak-anak Melankolik selalunya akan berusaha sedaya-upaya supaya tiada apa yang belaku dapat meenjatuhkan air muka mereka. Pada mereka aib dan maruah sangat perlu dijaga.

Punca-punca tantarum anak-anak Kolerik

Teks: Yasmin Ismail

Anak-anak Kolerik ialah anak-anak yang aktif dan penuh semangat. Mereka mengenali dunia mereka menerusi pergerakan fizikal. Mereka juga sangat lincah dan bertenaga kerana energi mereka ialah ekstrovert.

Personaliti mereka juga sangat menonjol dan ibu bapa akan mendapati anak-anak Kolerik paling banyak membuat tantarum. Ini adalah cabaran terbesar ibu bapa dalam membesarkan anak-anak Kolerik dan jika ibu bapa tidak memahami punca tantarum anak Kolerik, ibu bapa akan stres sepanjang zaman kanak-kanak Kolerik.

Anak-anak Kolerik sangat ekspresif dan lantang. Ibu bapa akan cepat perasan jika anak-anak Kolerik sakit hati dan tidak dapat mengawal emosi mereka. Tantarum akan ditunjuk apabila:-

1. Tiada atau kurang saluran untuk bergerak secara fizikal. Contohnya jika anak-anak Kolerik disuruh membaca dengan senyap atau mendengar cerita dengan diam, mereka akan memberontak. Lebih teruk lagi jika anak-anak Kolerik dikehendaki melalui sesi mentelaah yang panjang. Badan mereka manjadi resah dan meronta-ronta untuk bebas bergerak.

2. Bila permintaan mereka banyak kali ditolak dan terlalu banyak larangan. Anak-anak Kolerik akan berasa lemas dan tidak dihormati kerana pergerakan mereka dibatas. Mereka akan tunjuk perasaan sehingga mereka bebas semula.

3. Ada sesuatu dalam kehidupan anak-anak Kolerik yang menambat mereka atau yang meyekat mereka contohnya ibu atau ayah yang terlalu garang. Pemahaman bahawa anak-anak Kolerik perlu bergerak dan meneroka dengan aktif sukar difaham kerana selalunya anak-anak Kolerik suka bertindak lasak dan mengambil risiko.

Punca-punca tantarum anak Flegmatik

Teks: Yasmin Ismail

Anak-anak yang selalunya tenang dan bersopan-santun merupakan anak-anak Flegmatik. Mereka mempunyai kawalan diri sendiri yang tinggi dan tidak mudah panik. Disebalik dunia mereka yang tenang, mereka juga melalui tekanan dan punca tekanan bagi mereka tidak dapat dibayangkan oleh personaliti-personaliti yang lain kerana dianggap remeh.

Orang disekeliling selalunya tidak dapat menduga bahawa anak-anak Flegmatik sedang mengalami tekanan kerana mereka pandai berselindung dibalik senyuman yang manis. Namun tantarum anak-anak Flegmatik walaupun ianya tak sekuat personaliti lain, harus dipantau dan diberi perhatian. Anak-anak Flegmatik tidak puashati jika:-

1. Merasakan bahawa diri mereka tidak diendahkan. Apabila mereka diketepikan atau diperkecilkan. Mereka berkecil hati apabila buah fikiran atau luahan mereka tidak didengari atau disambut secara acuh tak acuh.

2. Apabila rancangan atau cadangan yang mereka buat diabaikan. Mereka berasa tidak dihargai dan jauh hati kerana banyak usaha yang mereka telah curahkan untuk membuat rancangan kerana anak-anak Flegmatik ini terlalu teliti dan semua sudut rancangan diambil kira.

3. Sesuatu yang perit berlaku di dalam kehidupan anak-anak Flegmatik. Sebagai contoh, jika mereka dibuli atau didera. Oleh kerana anak-anak Flegmatik melalui kehidupan mereka dengan penuh emosi, pengalaman begini begitu mempengaruhi jiwa mereka dan mereka berasa sangat tertekan dan salah satu luahan ialah tantarum.

Punca tantarum anak Sanguine

Teks: Yasmin Ismail

Anak-anak Sanguine yang ceria dan sentiasa gembira. Mereka pandai mencari keseronokan dalam apa jua yang mereka lakukan. Namun begitu, mereka tidak terlepas dari berasa tertekan dan marah seperti juga tiga personaliti yang lain. Punca yang memberi mereka tekanan sehingga kadangkala mereka juga tantarum ialah:

1. Bila mereka terasa terkongkong dan terlalu banyak sekatan dan kawalan yang dikenakan oleh orangtua. Mereka paling suka meneroka dunia mereka dan mereka akan rasa bosan jika mereka tidak bebas berbuat demikian.

2. Apabila mereka dibiar terlalu lama bersendirian. Oleh kerana mereka perlukan suasana sosial untuk berasa gembira dalam limpahan perhatian dari orang sekeliling, anak-anak Sanguine tidak boleh dibiarkan bersepian terlalu lama. Mereka akan berasa tidak dipeduli dan akan membuat tantarum untuk menarik perhatian.

3. Sesuatua yang terlalu serius yang berlaku dalam hidup anak-anak Sanguine juga akan memberi mereka stres. Contohnya suasana tegang dalam keluarga yang sedang menghadapi perpindahan atau kematian.