Showing posts with label Pengabaian Emosi Anak. Show all posts
Showing posts with label Pengabaian Emosi Anak. Show all posts

Tuesday, November 13, 2018

Cabaran anak yang melalui pengabaian emosi

Teks: Yasmin Ismail

Anak-anak yang melalui pengabaian emosi membesar dengan penuh cabaran. Walaubagaimanapun cabaran ini tidak difahami oleh orang biasa dan tidak pula dapat dikesan anak ini sedang bersusah-payah melaluinya. Anak-anak ini menggagahi dengan mencekau kekuatan dari kawan-kawan, guru-guru, program televisyen atau dari kisah-kisah yang mereka baca dalam buku cerita.

Mereka senang memahami kisah-kisah dongeng seperti Cinderella dan Snow White. Mereka dambakan pendengar yang setia seperti Bagheera dalam kisah Jungle Book, ibu Andy yang prihatin dalam filem Toy Story dan ayah yang penyayang seperti ayahnya Pinocchio.

Oleh kerana perasaan kanak-kanak mereka tidak mendapat pengiktirafan mereka terperangkap dalam belenggu yang sukar mereka faham.

Mereka sukar mengetahui perasaan mereka sendiri sedari mereka kecil sehingga dewasa. Bukan sahaja mereka gagal mengetahui perasaan mereka, mereka juga sukar percaya kepada intuisi mereka. Mungkin juga pada satu ketika mereka memgetahui perasaan mereka sama ada marah, benci, sedih atau kecewa, mereka tidak memahami mengapa mereka merasai emosi tersebut. Lanjutan dari itu, mereka juga sukar memahami perasaan orang lain.

Mereka berasa tidak puas hati, merasa terpinggir atau sepi kerana mereka tidak mendapat penerimaan yang sewajarnya dari orangtua.

Mereka juga mempunyai masalah untuk mempercayai dan sukar bergantung harap kepada orang lain. Mereka kelihatan sangat berdikari tetapi sebab sebenar mereka berdikari ialah mereka tidak mahu terhutang budi kepada sesiapapun.

Mereka dapat merasa sesuatu yang tidak kena dengan diri mereka tetapi sukar untuk mereka tangkap apakah sebenarnya kekurangan itu.


Penderaan anak-anak

Teks: Yasmin Ismail

Penderaan adalah satu tindakan yang dilakukan oleh penjaga yakni ibu bapa atau pengasuh. Penderaan ada beberapa bentuk dan ianya selalunya dapat dilihat kerana ada kesan fizikal ataupun kesan kepada tingkahlaku anak yang didera.

Penderaan terbahagi kepada lima. Yang pertama adalah pengabaian. Selalunya pengabaian adalah dari sudut fizikal dan dimanifestasikan oleh keadaan fizikal anak yang terbiar, kurang nutrisi, kotor dan sebagainya. Pengabaian fizikal senang dicam dan jika dikenalpasti, tindakan yang diambil selalunya pantas. Pengabaian emosi pula kurang mendapat tumpuan kerana ia terselindung dan sukar dikesan. Ia juga tidak dapay dikesan oleh anak yang sedang mengalaminya.

Jenis penderaan yang kedua adalah penderaan fizikal. Penderaan jenis ini juga dapat dilihat dari tanda-tanda fizikal yang terdapat di badan mangsa. Kesan penderaan ini ada bukti yang penderaan fizikal telah berlaku.

Penderaan lisan adalah penderaan yang sering berlalu secara berleluasa di negara kita namun di anggap sebagai perkara biasa. Oleh kerana itu, penderaan lisan sangat sukar dibuktikan dan mangsa penderaan jenis ini banyak di suruh bersabar dari digalakkan untuk membawa kes ke muka pengadilan. Namun kesan penderaan lisan terhadap anak-anak teramat besar untuk dibiarkan sahaja.

Penderaan yang seterusnya ialah penderaan seksual dan ia banyak dilaporkan di media dan kebanyakan kes penderaan seksual ini begitu menyayat hati. Penderaan seksual selalunya dilakukan oleh orang-orang yang dekat dan mempunyai akses kepada mangsa.




Menyelami perasaan anak yang melalui pengabaian emosi

Teks: Yasmin Ismail

Anak-anak yang melalui pengabaian emosi sebenarnya tidak tahu apa sebenarnya yang mereka alami. Mereka tidap dapat menangkap bahawa mereka sedang melalui suatu trauma yang besar kerana mereka tidak pernah merasai pengasuhan yang sepatutnya.

Jiwa mereka merintih tapi mereka sukar menyatakannya dengan kata-kata. Mereka tahu hati mereka berhiba tetapi punca sebenar dari kesedihan yang mereka alami tidak dapat mereka faham.

Orang-orang sekeliling juga tidak dapat mengesan lara disanubari anak-anak ini kerana dari segi luaran mereka seperti anak-anak lain yang cukup makan dan pakai. Pergaulan mereka juga tidak namlak beza dari anak-anak biasa kerana sifat kanak-kanak yang selalu bersemangat dan ceria.

Disebalik keceriaan dan semangat yang ditampilkan oleh anak-anak yang melalui pengabaian emosi adalah satu dunia yang gelap dan sepi. Mereka merasa kosong di dalam dunia ini dan merasa kehilangan sesuatu tetapi mereka tidak tahu apa yang mereka hilang.

Semakin lama mereka berusaha menumpulkan perasaan mereka dan ini membuatkan mereka mula terpisah dari perasaan mereka sendiri.

Anak-anak ini akan mudah mengalah dalam cabaran-cabaran kehidupan harian, kerapkali mereka tidak akan mahu mencuba perkara baru. Emosi mereka juga sukar dikawal adakala mereka mudah melenting, berasa tekanan yang tinggi dan mudah merajuk atau terlalu sensitif apabila permintaannya ditolak.

Anak anak ini juga selalunya akan menuntut kesempurnaan dari diri sendiri dalam apa-apa hasilkerja dan kadangkala kesempurnaan ini juga dituntut dari orang lain juga.

Mereka juga mengalami kecelaruan dengan diri sendiri dan orang lain. Mereka sukar mengetahui apa yang mereka mahukan dari diri sendiri dan juga apa yang orang lain harapkan dari mereka.

Hal ini amatlah susah untuk difahamkan kepada orang yang tidak melaluinya dan apabila diceritakan, ianya mungkin kedengaran seperti dibuat-buat atau satu khayalan.

Bagaimana pengabaian emosi berlaku

Teks: Yasmin Ismail

Ibu bapa yang kurang cakna, tidak menghargai atau kurang respons kepada emosi anak dengan secara sedar atau tidak memberi signal bawah minda sedar (subliminal message) kepada anak iaitu:

'' Perasaan awak tak penting''

Cuba bayangkan jika mesej ini disampaikan kepada anak beberapa kali setiap hari. Oleh kerana jiwa anak yang halus, kesan dari mesej minda separa sedar ini sangat besar dan mencacatkan jiwa anak.

Anak ini tidak tahu apa yang berlaku dan ia hanya menerima input positif ini dan tidak tahu bahawa input ini merosakkan jiwanya. Anak tidak tahu mekanisme untuk menepis input negatif ini sehingga dewasa dan membawa semua kerosakan jiwanya ke dalam semua hubunganya dengan pasangannya, bosnya dan kawan-kawannya.

Anak yang melalui pengalaman bahawa perasaannya adalah tidak penting akan merasa kesepian dan keseorangan kerana dia merasakan dirinya tidak membawa sebarang makna kepada sesiapapun.

Pengabaian emosi

Teks: Yasmin Ismail

Pengabaian emosi (emotional neglect) mula dicatat oleh Dr. Jonice Webb. Tulisan-tulisannya boleh dibaca di www.drjonicewebb.com.

Dr. Jonice Webb memberikan definisi pengabaian emosi sebagai

'Kegagalan ibubapa memberi tindakbalas yang cukup kepada keperluan emosi anak'.

Anak yang cukup dari segi fizikal seperti rumah untuk berlindung, makanan dan pakaian masih boleh mengalami pengabaian emosi jika keperluan emosinya tidak dipeduli oleh orangtuanya.

Dr. Webb menegaskan bahawa pengabaian emosi tidak boleh disamakan dengan layanan buruk atau penderaan. Terdapat perbezaan yang nyata antara keduanya tetapi hal ini tidak disedari oleh ramai orang.

Layanan buruk dan/atau penderaan kedua-duanya adalah tindakan nyata oleh ibu bapa. Namun pengabaian emosi adalah kegagalan ibu bapa bertindak.

Pengabaian emosi berlaku apabila ibu bapa tidak perasan, tidak mengendahkan, tidak peduli, tidak memberi respons yang betul kepada perasaan anak.

Pengabaian emosi adalah suatu yang tidak berlaku iaitu anak tidak dapat keprihatinan yang sepatutnya dan okeh kerana itu pengabaian emosi itu tidak ketara, terselindung dan sukar diingat semula.