Teks: Yasmin Ismail
Anak-anak yang melalui pengabaian emosi sebenarnya tidak tahu apa sebenarnya yang mereka alami. Mereka tidap dapat menangkap bahawa mereka sedang melalui suatu trauma yang besar kerana mereka tidak pernah merasai pengasuhan yang sepatutnya.
Jiwa mereka merintih tapi mereka sukar menyatakannya dengan kata-kata. Mereka tahu hati mereka berhiba tetapi punca sebenar dari kesedihan yang mereka alami tidak dapat mereka faham.
Orang-orang sekeliling juga tidak dapat mengesan lara disanubari anak-anak ini kerana dari segi luaran mereka seperti anak-anak lain yang cukup makan dan pakai. Pergaulan mereka juga tidak namlak beza dari anak-anak biasa kerana sifat kanak-kanak yang selalu bersemangat dan ceria.
Disebalik keceriaan dan semangat yang ditampilkan oleh anak-anak yang melalui pengabaian emosi adalah satu dunia yang gelap dan sepi. Mereka merasa kosong di dalam dunia ini dan merasa kehilangan sesuatu tetapi mereka tidak tahu apa yang mereka hilang.
Semakin lama mereka berusaha menumpulkan perasaan mereka dan ini membuatkan mereka mula terpisah dari perasaan mereka sendiri.
Anak-anak ini akan mudah mengalah dalam cabaran-cabaran kehidupan harian, kerapkali mereka tidak akan mahu mencuba perkara baru. Emosi mereka juga sukar dikawal adakala mereka mudah melenting, berasa tekanan yang tinggi dan mudah merajuk atau terlalu sensitif apabila permintaannya ditolak.
Anak anak ini juga selalunya akan menuntut kesempurnaan dari diri sendiri dalam apa-apa hasilkerja dan kadangkala kesempurnaan ini juga dituntut dari orang lain juga.
Mereka juga mengalami kecelaruan dengan diri sendiri dan orang lain. Mereka sukar mengetahui apa yang mereka mahukan dari diri sendiri dan juga apa yang orang lain harapkan dari mereka.
Hal ini amatlah susah untuk difahamkan kepada orang yang tidak melaluinya dan apabila diceritakan, ianya mungkin kedengaran seperti dibuat-buat atau satu khayalan.
No comments:
Post a Comment