Teks: Yasmin Ismail
Anak-anak yang melalui pengabaian emosi membesar dengan penuh cabaran. Walaubagaimanapun cabaran ini tidak difahami oleh orang biasa dan tidak pula dapat dikesan anak ini sedang bersusah-payah melaluinya. Anak-anak ini menggagahi dengan mencekau kekuatan dari kawan-kawan, guru-guru, program televisyen atau dari kisah-kisah yang mereka baca dalam buku cerita.
Mereka senang memahami kisah-kisah dongeng seperti Cinderella dan Snow White. Mereka dambakan pendengar yang setia seperti Bagheera dalam kisah Jungle Book, ibu Andy yang prihatin dalam filem Toy Story dan ayah yang penyayang seperti ayahnya Pinocchio.
Oleh kerana perasaan kanak-kanak mereka tidak mendapat pengiktirafan mereka terperangkap dalam belenggu yang sukar mereka faham.
Mereka sukar mengetahui perasaan mereka sendiri sedari mereka kecil sehingga dewasa. Bukan sahaja mereka gagal mengetahui perasaan mereka, mereka juga sukar percaya kepada intuisi mereka. Mungkin juga pada satu ketika mereka memgetahui perasaan mereka sama ada marah, benci, sedih atau kecewa, mereka tidak memahami mengapa mereka merasai emosi tersebut. Lanjutan dari itu, mereka juga sukar memahami perasaan orang lain.
Mereka berasa tidak puas hati, merasa terpinggir atau sepi kerana mereka tidak mendapat penerimaan yang sewajarnya dari orangtua.
Mereka juga mempunyai masalah untuk mempercayai dan sukar bergantung harap kepada orang lain. Mereka kelihatan sangat berdikari tetapi sebab sebenar mereka berdikari ialah mereka tidak mahu terhutang budi kepada sesiapapun.
Mereka dapat merasa sesuatu yang tidak kena dengan diri mereka tetapi sukar untuk mereka tangkap apakah sebenarnya kekurangan itu.
No comments:
Post a Comment