Friday, November 16, 2018

Sesuatu yang tak disangka

Teks: Yasmin Ismail

Baru-baru ini kmin terasa sungguh penat dan stres lebih dari biasa. Kmin tercari-cari sebabnya. Lama juga kmin menelusuri fikiran sendiri, menjejaki keretapi minda yang bergerak laju setiap hari membawa berbagai rencam fikir.

Justru kmin mendapat kesimpulan, lelah itu pangkalnya kerana cuti midsem anak-anak kolej. Mungkin kerana tiap-tiap hari masak menu yang sedikit istimewa. Tambahan pula kain baju dari kolej juga menyebabkan stres.

Tetapi bila kmin selami lagi perasaan sendiri, bukan juga itu sebabnya. Kalau masak, ada sepasang dua lagi tangan yang membantu. Baju-baju sebakul dua dari kolej juga bukan kmin yang uruskan. Jadi apa puncanya kmin cuba selami lebih dalam.

Kmin termenung seorang, bukan lagi berfikir tapi kali ini merasa dan akhirnya jawapannya datang. Kmin terhidupkan suis tracking untuk semua anak hatta yang pulang dari kolej juga. Mesti ramai yang tak faham suis apa yang kmin nyalakan.

Sebagai ibu kmin tracking anak-anak, sudah makan, mandi, berapa jam tidur, kerja sekolah dan lain-lain. Semuanya kmin track dalam kepala. Sebelum ini suisnya hidup untuk lima orang anak campur ayah mereka dan bapa mertua kmin jumlahnya tujuh orang. Tetapi bila cuti midsem, dalam kegembiraan semua anggota keluarga menyatu, kmin terhidupkan untuk semua sepuluh orang.

Patutlah kmin letih dan rasa sedikit tertekan. Bila kmin sedar dah tersalah hidup suis, kmin cepat-cepat matikan. Tak perlu tracking tiga anak kolej. Mereka sudah tidak perlu berada dalam radar ibu.

Alhamdullilah kmin capai semula titik keseimbangan. Nota pada diri: Lain kali jangan hidupkan suis secara auto. Mesti lakukan secara manual dan cakna suis dipasang untuk siapa.


No comments:

Post a Comment