Tuesday, November 13, 2018

Pembentukan jiwa dan raga yang sihat

Teks: Yasmin Ismail

Kita semua maklum bahawa jiwa bayi yang baru lahir adalah polos iaitu ia bersih dan suci secara fitrahnya. Bayi dicorakkan oleh orang yang menjaganya selalunya ibu dan ayah kemudiannya datuk dan nenek serta saudara-mara yang lain. Juga termasuk dalam penjaga adalah pembantu rumah, pengasuh, pekerja taska dan jiran tetangga.

Menurut John Bowlby seorang doktor, Attachment Theory menyatakan bahawa untuk membentuk sahsiah atau jiwa raga yang sihat, kita perlu peka kepada emosi bayi. Dengan cara ini dan pengasuhan yang cukup, bayi dan anak kecil belajar untuk menenangkan diri sendiri dan membina jati diri yang utuh.

Ada lima cara yang disarankan untuk membangun satu hubungan yang peka antara bayi dan ibu atau pengasuhnya. Teknik-teknik ini nampak mudah tapi adalah sangat berkesan bagi ibu dan anaknya dan hubungan yang akan terjalin adalah sangat kukuh dan tidak mudah goyah.

1) Penyusuan susu ibu
Tidak di nafikan bahawa susu ibu adalah hak seorang anak. Bayi yang disusukan dengan susu badan mendapat nutrisi yang lengkap dari ibunya pada setiap kadar tumbesarannya. Bayi juga mendapat manfaat antibodi dan perlindungan dari jangkitan kuman kerana sifat susu ibu yang nyah kuman dan antikulat.

2) Eye contact
Bayi yang baru memang banyak tidur tapi pada kebanyakan masa jaganya, bayi dalam dakapan ibunya iaitu waktu menyusu. Tidak kira menyusu badan atau botol, diwaktu ini ibu paling dekat dan eye contact paling wajar berlaku. Kasih sayang seorang ibu akan menyebabkan seorang ibu dan ayah tidak jemu-jemu menatap wajah bayinya. Eye contact dengan bayi ini adalah sangat penting bagi menjalin hubungan antara jiwa orangtua dan anak.

3) Sentuhan kulit.
Salah satu deria yang perlu dihidupkan menurut Attachment Theory adalah deria rasa sentuhan kulit. Mengusap, membelai dan memegang kulit bayi memberi bayi input yang positif. Selain menenangkan bayi dan membuatnya rasa selesa dan selamat, sentuhan kulit juga membuat bayi mengerti bahawa dirinya disayangi, diberikan perhatian, dihargai dan dimanjai. Ia adalah satu komunikasi tanpa bahasa yang memaknai kehidupan bayi.

4) Pengasuhan dari ibu atau ayah dirumah sendiri sekurang-kurangnya selama lima tahun
Teknik ini amat penting bagi seorang bayi untuk membesar sebagai anak kecil yang yakin dan utuk peribadinya. Namun, dalam dunia kita yang moden ini, situasi ideal begini, ia adalah amat sukar ubtuk dicapai. Jika dapat kira sediakan suasana ini untuk bayi dan anak kecil, ia adalah suasana membesar yang paling optimum buat bayi.

5) Pengasuhan bertumpukan anak
Corak pengasuhan ini adalah sangat khusus iaitu pengasuhan yang memberikan perhatian kepada setiap keperluan anak dari segi emosi, fizikal dan spiritual. Pengasuhan begini memerlukan ibu bapa melengkapkan diri dengan ilmu keibubapaan sebelum menimang cahaya mata. Teknik ini juga menuntut ibu bapa mengasuh dengan akal dan hati. Bukan hanya sambil lewa dan sekadar melepaskan batok di tangga.






No comments:

Post a Comment