Showing posts with label Catatan Harian. Show all posts
Showing posts with label Catatan Harian. Show all posts

Friday, November 30, 2018

Hari Akademik Mato.

Teks: Yasmin Ismail

Ibu tidak dapat hadir Hari Akademik Mato pada tahun ini. Ibu dah bersiap tapi ibu tidak sihat jadi, ayah saja yang wakilkan ibu ubtuk ambil laporan prestasi Mato dan Nuna.

Ibu pun tak dapat tanya soalan standard yang ibu selalu aju pada cikgu anak-anak. Ayah tidak tahu apa yang selalu ibu bualkan dengan guru jadi ibu pun redo saja apa laporan yang dibawa pulang nanti.

Mato pulang tersengih-sengih. Di meja makan, Ayah pun mula bercerita tentang laporan guru tahun tiga Mato, Puan Hanifah yang penyayang.

"Cikgu cakap, Mato ni banyak cakap dalam kelas, suka tanya cikgu soalan macam-macam. Mato tanya soalan sains tapi tak ada kena mengena dengan topik yang cikgu ajar."

"Lagi satu Mato suka keluar kelas, kalau cikgu tengah mengajar pun, kalau dia tengok cikgu lain perlu bantuan, dia keluar aje tolong cikgu tu"

Ibu diam saja dengar Ayah yang jarang pergi Hari Akademik buat laporan. Ligat ibu berfikir. Ibu tak melenting, ibu cuma proses maklumat yang ayah beri.

"Tapi cikgu cakap pencapaian Mato paling banyak dalam kelas itu. Nampak usaha Mato".

Ibu dapat kesimpulannya, ting! Mato ialah anak Kolerik yang tidak boleh duduk diam. Di rumah juga suara Matolah yang paling kuat. Gelak Matolah yang bingit. Mato memang banyak bertanyakan soalan-soalan dan ibu layan saja dengan selamba. Mato perlu banyak bergerak untuk meneroka dunianya.

Ibu senyum saja bila Mato pandang ibu.

"Bagus Mato, tahun depan kita usaha lagi keras, okey."





Wednesday, November 21, 2018

Eksperimen kedua

Teks: Yasmin Ismail

"Ibu!"

Ibu sedang duduk di tempat ibu di meja makan. Ibu sedang menulis dengan khusyuk. Ibu toleh ke tangga nampak abang bigu termengah-mengah memanjat tangga.

"Entah kenapa tapi Bigu beli ni untuk ibu. Tengok promo tadi dari RM10 jadi RM7.50, Bigu pun belilah"

Bigu keluarkan sebekas kecil aiskrim jenama mahal dari beg plastik tunjuk kat ibu. Ibu senyum aje.

"Oh tu memang ibu rasa nak makan aiskrim".

"Tapi tadi masa Bigu tanya ibu, ibu tak minta pun masa buat list barang nak beli"

"Ibu minta dalam hati".

"Aik, macam tu pun boleh?" Abang Bigu buat muka pelik.

Ibu senyum, cuba nak sembunyikan rasa terkejut eksperimen kedua juga berjaya. Ibu saja je nak test abang Bigu. Tak sangka dapat aiskrim di hari yang panas. Alhamdulillah.




Eksperimen ibu

Teks: Yasmin Ismail

Ibu duduk di meja makan sambil baca buku. Ibu memang selalu duduk di meja ketika membaca. Pagi ini, ibu terasa haus pula.

Tiba-tiba adik datang dari dapur bawa air segelas terus letak atas meja tepi ibu. Ibu senyum saja.

"Terima kasih, adik". Ibu masih tersenyum.

Adik tengok ibu dengan muka hairan. Tapi hairan adik secuit saja.

"Ibu, ibu minta air ke?"

"Ya, adik"

"Ibu minta adik ke?"

"Ya, adik. Adik dengar ke ibu minta?"

"Adik tak dengar kat telinga"

"Adik tak dengar di telinga, habis adik dengar kat mana?"

"Adik dengar dalam hati"

"Ibu pun minta dalam hati, dik"

Adik senyum, ibu pun senyum. Hilang hairan secuit adik.




Tak sangka

Teks: Yasmin Ismail

Senarionya ibu sedang di ruang tamu melipat baju sambil sambil mata menjeling-jeling cerita korea. Susah lipat baju sambil layan drama korea sebab kena baca sarikata.

Mato melompat-lompat dari dapur terus duduk terjelepuk sebelah ibu. Ibu buat endah tak endah saja sebab Mato memang macam tu.

"Ibu, Mato rasa gembira sangat".

Ibu dengar tak dengar sebab multitask tangan dengan mata dan minda campur telinga rasa macam dah overload tapi ibu dapat juga balas,

"Mato gembira hari ni"

Mato duduk menegak, ibu dapat rasa Mato dah sambut balasan ibu sebagai permulaan untuk berbual. Ibu pun pusing pandang muka Mato, bye bye drama korea.

"Mato gembira sebab Allah pilih Mato jadi anak ibu". Dengan senyuman mata sepetnya, terus dia melompat pergi.

Ibu terkesima.




Membaca

Teks: Yasmin Ismail

Malam tadi di meja makan, kami bersembang tentang membaca. Ibu yang mulakan dengan rasa bangga buat pengumuman,

"Adik dah pandai baca".

"Adik baca banyak tadi kan".

Adik pun tersenyum simpul.

"Bagus adik pandai baca umur 6 tahun".

"Kak mimiloma dan abang bigu pun sama dengan adik umur 6 tahun dah pandai baca. Abang lifboy pun 6 tahun juga".

"Abang Goofiq ibu?", adik tanya ibu.

"Abang Goofiq 5 tahun, kak Nuna 4 setengah tahun, tapi yang juara ialah kak titiyaya umur 4 tahun dia dah membaca".

"Wahhhh", adik tepuk tangan.

Mato diam saja pura-pura membelek dan mengkaji ayam goreng atas pinggannya. Ibu sedar Mato diam sebab selalu Mato yang paling kecoh di meja makan.

"Mato pun macam ibu. Kita sama, mula membaca umur 7 tahun".

Baru Mato angkat muka.

Begitulah seadanya, setiap anak itu berbeza, maka raikanlah semuanya. Semua anak diterima di meja.

Tapi tak ada siapa pun yang tanya bila ayah mula membaca.

Friday, November 16, 2018

Sesuatu yang tak disangka

Teks: Yasmin Ismail

Baru-baru ini kmin terasa sungguh penat dan stres lebih dari biasa. Kmin tercari-cari sebabnya. Lama juga kmin menelusuri fikiran sendiri, menjejaki keretapi minda yang bergerak laju setiap hari membawa berbagai rencam fikir.

Justru kmin mendapat kesimpulan, lelah itu pangkalnya kerana cuti midsem anak-anak kolej. Mungkin kerana tiap-tiap hari masak menu yang sedikit istimewa. Tambahan pula kain baju dari kolej juga menyebabkan stres.

Tetapi bila kmin selami lagi perasaan sendiri, bukan juga itu sebabnya. Kalau masak, ada sepasang dua lagi tangan yang membantu. Baju-baju sebakul dua dari kolej juga bukan kmin yang uruskan. Jadi apa puncanya kmin cuba selami lebih dalam.

Kmin termenung seorang, bukan lagi berfikir tapi kali ini merasa dan akhirnya jawapannya datang. Kmin terhidupkan suis tracking untuk semua anak hatta yang pulang dari kolej juga. Mesti ramai yang tak faham suis apa yang kmin nyalakan.

Sebagai ibu kmin tracking anak-anak, sudah makan, mandi, berapa jam tidur, kerja sekolah dan lain-lain. Semuanya kmin track dalam kepala. Sebelum ini suisnya hidup untuk lima orang anak campur ayah mereka dan bapa mertua kmin jumlahnya tujuh orang. Tetapi bila cuti midsem, dalam kegembiraan semua anggota keluarga menyatu, kmin terhidupkan untuk semua sepuluh orang.

Patutlah kmin letih dan rasa sedikit tertekan. Bila kmin sedar dah tersalah hidup suis, kmin cepat-cepat matikan. Tak perlu tracking tiga anak kolej. Mereka sudah tidak perlu berada dalam radar ibu.

Alhamdullilah kmin capai semula titik keseimbangan. Nota pada diri: Lain kali jangan hidupkan suis secara auto. Mesti lakukan secara manual dan cakna suis dipasang untuk siapa.