Showing posts with label Urus Anak Kecil. Show all posts
Showing posts with label Urus Anak Kecil. Show all posts

Monday, November 19, 2018

Empat personaliti

Teks: Yasmin Ismail

Dalam bukunya The Child Whisperer, Carol Tuttle membahagikan empat personaliti anak.

1. SANGUINE
2. PHLEGMATIC (Flegmatik)
3. CHOLERIC (Kolerik)
4. MELANCHOLY (Melankoli)

Keempat-empat personaliti ini ada petunjuknya yang jelas. Jika ibu bapa meluangkan masa bermain atau berbuat aktiviti dengan anak setiap hari, nescaya ibu bapa akan dapat mengesan petunjuk-petunjuk yang diberikan oleh anak secara tak langsung.

Walhal semasa makan juga ibu bapa dapat melihat cara anak-anak makan dan mengagak personaliti anak.

Personaliti anak adalah tulus kerana pada peringkat membesar anak tidak pandai menyorokkan dirinya yang sebenar. Pada umur sebelum enam tahun kita dapay menikmati personaliti anak yang jujur dan terbuka jika kita sebagai ibu bapa menerimanya juga dengan jujur dan terbuka. Hanya apabila anak merasakan dirinya tidak diterima, ia akan melindungi dirinya yang sebenar dan berpura-pura supaya dirinya diterima.

Personaliti ibu bapa

Teks: Yasmin Ismail

Memahami personaliti anak dan kecenderungan anak adalah hanyalah sebahagian sahaja dari proses membentuk hubungan jiwa yang kuat antara orangtua dan anak.

Sebahagian lagi proses itu terletak kepada pemahaman ibu bapa itu tentang personaliti mereka sendiri. Dalam keluarga yang biasa, ibu bapa selalunya tidak faham akan personaliti mereka seterusnya tidak cakna bagaimana mereka sendiri melukakan perasaan anak-anak dengan percakapan atau tingkahlaku mereka.

Hal yang selalu berlaku adalah apa yang penting buat anak dipandang remeh oleh ibu bapa dan begitu juga sebaliknya. Ketidakseimbangan inilah yang sering membuat hubungan menjadi hambar, tegang atau tidak bermakna.

Sunday, November 18, 2018

Personaliti dan energi anak

Teks: Yasmin Ismail

Personaliti anak yang akan saya bentangkan di sini adalah menurut Carol Tuttle dalam bukunya The Child Whisperer. Sistem susunan personality ini bukanlah yang terbaik namun ia menjadi pilihan sebagai contoh yang jelas tentang pembahagian personaliti manusia.

Sistem personaliti Tuttle bukan sistem yang pertama menjeniskan personaliti manusia, Ia juga bukan sistem yang tulen kerana sistem ini juga mengambil hasil kajian dan inspirasi dari sistem-sistem sebelumnya seperti Myers-Briggs, Caygill, Donner, Callaway dan Kitchener.

Walaupun berbeza, kebanyakan sistem pembahagian personaliti manusia akan menetapkan empat kumpulan yang besar dan enam belas kumpulan yang lebih terperinci.

Menurut Tuttle ada empat personaliti dan energi anak-anak. Ia boleh dikenali melalui sikap dan sifat anak. Lebih menarik lagi, ia juga boleh dilihat dari bahasa badan anak dan ciri-ciri tubuh anak.

Contoh bagaimana ibu bapa tidak memahami personaliti anak

Seorang anak kecil berumur lima tahun sering bertekak dengan ibunya. Anak ini di label keras kepala, suka cari pasal dan mempunyai tahap toleransi yang rendah. Ibu bapanya tidak faham kenapa dia bersikap demikian kerana bagi mereka anak ini sudah cukup disediakan segala keperluannya.

Apa yang gagal dilihat oleh ibu bapa anak ini ialah personalitinya yang alami iaitu seorang yang aktif dan mengenali dunianya dengan cara fizikal. Anak ini menggunakan tenaga fizikal dan pergerakannya untuk belajar dan ia paling bertenaga jika di beri kebebasan meneroka alam sekeliling dengan bebas.

Konflik berlaku apabila ibu bapa menyekat anak ini dari keluar rumah dan hanya menyediakan buku-buku, komputer dan telivisyen sebagai alat pembelajarannya.

Dari pengalaman anak pertama, ibu bapa tidak faham mengapa anak lima tahun ini tidak tenang membaca buku atau menonton telivisyen seperti kakaknya. Ibu bapa tidak dapat kenalpasti bahawa sikakak meneroka persekitarannya dengan cara intelektual dan cukup sekadar membaca, memerhati, menonton dan berfikir.

Keluhan ibu bapa

Teks : Yasmin Ismail

Dalam berbual santai dengan ibu bapa tentang anak-anak, ada ibu bapa yang meluahkan kekesalan atas sikap anak-anak yang nampak negatif dan tidak sepatutnya berlaku. Ibu bapa juga kadang kala mengeluh kerana mereka tidak faham punca anak-anak berkelakuan tidak wajar.

Hal ini dapat dipastikan kerana ibu bapa kurang kefahaman tentang personaliti, naluri dan apa yang anak-anak anggap penting. Apabila ibu bapa faham personaliti anak, secara automatik, keluhan ibu bapa akan hilang dengan sendirinya. Tambahan dari itu, ibu bapa akan menemui jalan untuk merangsang dan melonjakkan bakat anak ke tahap yang tinggi.

Perkara ini nampak sangat ideal dan mungkin juga tak tercapai dek ibu bapa tapi sebenarnya ia senang di lakukan, hanya ibu bapa perlu rajin dan peka dengan peribadi anak. 

Friday, November 16, 2018

Bagaimana kalau.

Teks: Yasmin Ismail

Sepanjang perkahwinan, kita mengenali pasangan kita dengan lebih dekat kerana tinggal sebumbung, makan sepinggan dan tidur sebantal. Kita juga melalui detik-detik naik turun dalam perkahwinan dan faham mood dan coping mechanism pasangan kita.

Setelah mendapat cahayamata, kita pun mula nampak cara pasangan kita mendidik anak-anak. Pendekatan pasangan kita mungkin berbeza kerana latarbelakang keluarga kita berbeza. Atau mungkin juga pasangan kita menggunakan kaedah yang sama dengan kita dek serasi dan sekufu keduanya.

Apabila anak-anak makin membesar, kita bahagia dan meniti alam keluarga dengan jayanya. Tetapi bagaimana jika sebenarnya, anak-anak kita mengalami pengabaian emosi. Disebalik tawa mereka tersembunyi rintihan bisu yang tak dapat dizahirkan.

Menjadi seorang ibu

Teks: Yasmin Ismail

Menjadi seorang ibu adalah hal yang cukup indah. Seorang bayi itu anugerah terbesar dan hubungan intim antara ibu dan bayi yang terjalin ketika detik pertama si ibu mencium harum wangi bayinya, menyentuh lembut kulitnya dan menatap wajah suci anaknya adalah kenangan istimewa yang hidup di minda ibu.

Seorang ibu yang menyimpan azam membesarkan anaknya menjadi seorang yang soleh dan berjaya akan berusaha tanpa mengalah untuk memenuhi impiannya. Tiap-tiap ibu yang normal akal dan jiwanya pasti menginginkan yang terbaik untuk anaknya. Walhal seorang ibu yang tidak mengecapi kasih-sayangpun akan tetap tidak lokek mencurahkan kasih-sayang kepada anaknya.

Hal ini juga sama dengan ayah-ayah. Ketika bayi lahir, ayahlah yang berhempas-pulas memastikan kedua-dua orang yang disayanginya dalam keadaan selesa dan keperluan keduanya mencukupi.

Jika ini adalah satu piawai yang disepakati semua orangtua, sepatutnya pengabaian emosi anak tidak akan berlaku.