Teks: Yasmin Ismail
Perkara pertama yang terbesar dalam hidup seorang bayi atau anak kecil adalah orang yang memberikan penjagaan kepadanya. Dalam banyak keluarga penjaga pertama ini ialah ibu atau ayah, pembantu rumah, nenek atau mak saudara.
Apabila bayi membesar penjaga yang bersamanya seharian ialah ibu, nenek, makcik, jiran, pengasuh, pembantu rumah atau bibik, babysitter, pekerja taska atau guru.
Hubungan yang intim akan terbina antara bayi atau anak kecil dengan 'primary caregiver' nya. Pada mulanya bayi tidak tahu bahawa dirinya ialah manusia kecil yang mempunyai autonomi sendiri. Apabila anak kecil itu sedar bahawa dirinya adalah tersendiri dan terpisah dari orang lain, ia mula sedar yang ia mempunyai upaya untuk melakukan perkara-perkara yang dilakukan oleh orang yang lebih tua darinya.
Di saat ini, bayi atau anak kecil akan mula berusaha mendapatkan kemahiran seperti memegang barang, melontar bola, menguis dengan kakinya dan sebagainya.
Seperkara lagi yang berlaku, bayi bukan sahaja melakukan perkara-perkara itu untuk dirinya sendiri. Bayi juga sedar yang ia merasa bahagia jika perkara yang ia lakukan diperhatikan oleh orang lain dan orang itu memberinya maklumbalas positif seperti bertepuk-tangan, bersorak atau sekadar mengangguk dan tersenyum.
Perasaan positif yang dialami oleh bayi apabila maklumbalas positif diberikan oleh orang disekelilingnya, mendorong bayi untuk menjadi ketagih dan berusaha mendapatkannya di setiap peluang yang tersedia.
No comments:
Post a Comment