Friday, November 30, 2018

Ulasan kelas asas penulisan blog.

Teks: Yasmin Ismail.

Ini adalah entri yang ke 44 dalam blog ini. Entri ini istimewa kerana kmin perlu mengulas tentang kelas asas penulisan blog yang dipimpin oleh Cikgu Masayu Ahmad.

Kelas asas penulisan blog ini santai dan tidak terlalu berat seperti kelas ebook. Santai kerana subjek yang perlu ditulis itu tidak memerlukan banyak pembacaan atau kajian. Juga kelas ini lebih ringan tugasannya iaitu hanya 2 entri sahaja stu hari.

Kmin selesa dalam kelas ini, namun ada juga kekangan masa dan juga otak beku yang menghalang kmin dari memasukkan entri secara istiqomah setiap hari.

Tapi alhamdullilah kmin dapat juga kejar kawan-kawan yang sudah menunggu di garisan penamat. Terima kasih kepada Cikgu Masayu Ahmad yang percaya dengan kmin.

Tiga tips untuk ibu bapa kepada anak Sanguin

Teks: Yasmin Ismail.

Anak Sanguin adakalanya tertekan dengan situasi mereka. Apabila ini berlaku, ibu bapa kadang-kadang tidak memahami stres anak Sanguin. Ibu bapa juga tidak peka tentang cara untuk mengawal tekanan anak Sanguin.

Sebelum terjadinya tekanan atas anak Sanguin, ada tiga tips yang ibu bapa boleh amalkan untuk mengelaknya.

1. Buatkan kejutan yang indah dan menyeronokkan.

2. Sokong dan dimana perlu bantu anak Sanguin berkawan.

3. Berseronok dengan anak Sanguin dalam aktiviti yang mereka suka.


Hari keluarga

Teks: Yasmin Ismail

Sambil ibu membungkus hamper untuk hadiah permainan sempena hari keluarga, ibu tersenyum-senyum sendiri mengenang hari keluarga yang lepas-lepas. Tiap-tiap tahun kedua-dua keluarga ayah dan ibu tidak lepas dari menganjurkan hari keluarga.

Sukaneka ialah acara wajib dan peserta-peserta bersaing dengan banyak aksi lucu. Kadang-kadang ada persembahan keluarga di sebelah malam disamping acara barbeku.

Tahun ini, hari keluarga keluarga sebelah ayah sudah berlalu dengan begitu meriah dan jayanya. Kemuncaknya kami menang acara persembahan keluarga.

Hari keluarga sebelah ibu pula selalunya di akhir tahun. Tahun ini, ada acara pakaian beragam untuk kanak-kanak. Nuna, Mato dan Adik sangat teruja dengan acara ini. Mereka bersungguh-sungguh mencari baju dan kelengkapan.

Mato yang paling tak sabar.

"Ibu, tahun lepas Mato menang goggle ibu. Bukan satu tapi dua ibu!"

"Tahun ni apa agaknya Mato menang?"

Mato berkira-kira sendiri.


Persamaan dinikmati

Teks: Yasmin Ismail.

Anak-anak ibu seimbang, empat lelaki dan empat perempuan. Ada yang dah habis kolej, masih di bangku sekolah menengah mahupun rendah dan yang seorang tu baru konvo tadika.

Dalam rumah yang sangat meriah ini, berbagai karenah dan laku ada. Aktiviti anak-anak, belajar dan bergurau sampai larut malam. Sampai Ayah pernah angkat suara.

"Tidurlah! Tadika pun dah tutup tau."

Walaupun anak-anak berbeza personaliti ada satu aktiviti yang mereka boleh lakukan sama-sama iaitu menyanyi. Selalunya Mimiloma yang akan mula dan yang lain menyambut.

Dari satu lagu ke satu lagu mereka buat medley. Ibu nikmati saja acapella mereka sebab nak sumbang suara, banyak lagu yang ibu tak tahu lirik, kadang-kadang melodi pun ibu tak tahu.


Perbezaan dirai.

Teks: Yasmin Ismail.

Anak-anak ibu berbagai ragam, berbagai perwatakan. Lumrah keluarga, personaliti setiap anak berbeza. Alhamdullilah dalam lapan orang ini, ada dua dari setiap personaliti. Jadi ianya ragaman yang seimbang.

Abang Bigu seorang Melankoli. Senang bersendirian dan layan diri, Bigu selalu senang nampak jalan penyelesaian masalah. Kakak Mimiloma anak Flegmatik, selalu menjadi pendamai dan banyak layan adik-adik.

Lilif seorang Kolerik yang tidak boleh duduk diam. Banyak kawan dan aktiviti, Lilif selalu tak lekat di rumah. Goofiq pula anak Sanguin yang selalu senang hati dan jarang serius dalam banyak perkara.

Seorang lagi Melankoli dalam keluarga ialah Titiyaya yang boleh berkurung dalam bilik berjam-jam. Walaupun begitu, Titiyaya bertanggungjawab dan selalu ingat keperluan rumah dan tahu letak duduk semua barang dalam rumah.

Seorang Flegmatik yang selalu tersenyum ialah Nuna. Hobinya melayan drama dan filem serta melukis. Nuna selalu buat kraf untuk kawan-kawannya. Mato yang kecoh ialah seorang Kolerik yang sangat popular di sekolah. Bukan saja dengan kawan-kawan, dalam kalangan guru pun Mato tersohor.

Yang terakhir ialah adik Syasya yang periang. Seorang Sanguin yang baikhati dan pwramah, adik Syasya selalu tunjukkan kasih sayang kepada abang dan kakak.

Yang mana adik, yang mana abang.

Teks: Yasmin Ismail.

"Tadi, Bigu nak naik van sekolah, Makcik tanya Bigu. Mana kakak awak?"

"Kakak?"

"Ye kakak awak yang putih melepak tu"

"Putih melepak?"

"Bigu heran ibu, makcik cakap apa ni. Dahlah panas Bigu nak balik cepat. Makcik pulak merepek tanya kakaklah melepaklah, suruh cari kakaklah."

Ibu pandang Bigu, suara Bigu buat aduan tapi dia senyum-senyum.

"Habis tu awak cari ke kakak awak?"

"Bigu nak cari sapa, mana Bigu ada kakak."

"Pastu Mimiloma datang, Makcik pun cakap, ha dah datang kakak awak".

Mimiloma dah pecah ketawa berderai mengekek-ngekek.

"Awak tak bagitahu ke makcik van, itu adik awak bukan kakak?"

"Tak."


Jaga abang jaga adik.

Teks: Yasmin Ismail.

Ibu selalu pesan kepada Bigu, jaga adik-adik. Ibu pesan juga dengan Mimiloma, jaga abang jika mereka keluar berdua selalunya ke kedai runcit berdekatan.

Kepada Lilif, Goofiq dan Titiyaya pun ibu selalu pesan jaga abang, jaga kakak, jaga adik-adik. Ibu suka jika anak-anak ibu selalu pantau adik beradik yang lebih muda mahupun yang lebih tua.

Ibu tak nak hanya abang dan kakak saja yang perlu jaga adik-adik, ibu bebankan juga adik-adik jaga abang kakak.

Pernah satu ketika, Cikgu tanya Titiyaya, adik awak berapa orang?

"Empat orang, cikgu."

Ibu pandang Titiyaya, Titiyaya yakin dengan jawapan itu.

Ibu senyum pada Titiyaya tapi dahi ibu berkerut.

"Eh cikgu, adik saya tiga orang!"

Ibu faham, Titiyaya anak Melankoli yang bertanggungjawab. Titiyaya dah ambil tanggungjawab sebagai kakak kepada abangnya Goofiq.

Hari Akademik Mato.

Teks: Yasmin Ismail

Ibu tidak dapat hadir Hari Akademik Mato pada tahun ini. Ibu dah bersiap tapi ibu tidak sihat jadi, ayah saja yang wakilkan ibu ubtuk ambil laporan prestasi Mato dan Nuna.

Ibu pun tak dapat tanya soalan standard yang ibu selalu aju pada cikgu anak-anak. Ayah tidak tahu apa yang selalu ibu bualkan dengan guru jadi ibu pun redo saja apa laporan yang dibawa pulang nanti.

Mato pulang tersengih-sengih. Di meja makan, Ayah pun mula bercerita tentang laporan guru tahun tiga Mato, Puan Hanifah yang penyayang.

"Cikgu cakap, Mato ni banyak cakap dalam kelas, suka tanya cikgu soalan macam-macam. Mato tanya soalan sains tapi tak ada kena mengena dengan topik yang cikgu ajar."

"Lagi satu Mato suka keluar kelas, kalau cikgu tengah mengajar pun, kalau dia tengok cikgu lain perlu bantuan, dia keluar aje tolong cikgu tu"

Ibu diam saja dengar Ayah yang jarang pergi Hari Akademik buat laporan. Ligat ibu berfikir. Ibu tak melenting, ibu cuma proses maklumat yang ayah beri.

"Tapi cikgu cakap pencapaian Mato paling banyak dalam kelas itu. Nampak usaha Mato".

Ibu dapat kesimpulannya, ting! Mato ialah anak Kolerik yang tidak boleh duduk diam. Di rumah juga suara Matolah yang paling kuat. Gelak Matolah yang bingit. Mato memang banyak bertanyakan soalan-soalan dan ibu layan saja dengan selamba. Mato perlu banyak bergerak untuk meneroka dunianya.

Ibu senyum saja bila Mato pandang ibu.

"Bagus Mato, tahun depan kita usaha lagi keras, okey."





Apa bakat anak saya, cikgu?

Teks: Yasmin Ismail

Tiap-tiap tahun soalan sama yang ibu aju kepada guru anak-anak. Berbagai reaksi juga yang ibu dapat. Ada juga respons guru yang membuat ibu terkejut.

Pada satu tahun, ibu bertanya soalan standard itu kepada guru kelas tingkatan dua Mimiloma. Guru kelad Mimiloma mengajar matematik. Puan Hawa sangat lemah lembut orangnya.

Setelah cikgu ulas kertas matematik Mimiloma, ibu pun sebagai penutup bertanya soalan standard.

Lambat Puan Hawa membalas.

'Saya tak tahu bakat anak puan. Dia seolah-olah tak wujud dalam kelas'.

Ibu tak percaya apa yang ibu dengar. Betul ke kita sedang berbincang tentang Mimiloma?. Mimiloma yang kecoh, Mimiloma yang selalu ketawa melebihi had, Mimiloma yang suka menyanyi atau mengaji sambil buat kerja.

Kali ini ibu yang terkesima.

Soalan kepada guru

Teks: Yasmin Ismail

Ibu terinspirasi dengan satu artikel yang ibu baca yang menyarankan ibu bapa uvah pwrtanyaan kepada guru pada Hari Akedemik. Apalagi, ibu pun tak sabar menunggu Hari Akademik tahun itu kerana ibu nak tahu apa agaknya respons guru.

Jadi, pertama kali ibu test soalan bakat ialah guru kelas Lilif 6 Bestari pada hari akademik semester 1.

'Apa bakat anak saya, cikgu?'

Cikgu diam pandang ibu. Mungkin cikgu terkesima sebentar sebab tak pernah dapat soalan tu. Cikgu pandang atas. Ibu tengok saja cikgu membuka fail di dalam kepalanya.

'Lilif anak puan, sangat berbakat dalam bidang sukan. Semua sukan dia masuk, bolasepak, ping-pong, olahraga.'

Ibu senyum saja, betul pemerhatian cikgu ni. Cikgu hebat!

Hari Akademik

Teks: Yasmin Ismail

Setiap tahun, sekolah buat hari akademik untuk berbincang dengan ibu bapa tentang prestasi anak-anak. Saban tahun ibu pergi mengadap guru-guru dua kali untuk tinjau hal anak-anak di sekolah.

Ada satu tahun tu, ibu terbaca dalam satu artikel tentang soalan lazim yang ibu bapa tanya kepada guru di sekolah.

Macam mana anak saya, cikgu.
Kenapa markah anak saya merosot.
Apa kelemahan anak saya.
Bagaimana saya dapat bantu anak saya atasi kelemahannya.
Anak saya nakal ke, cikgu?


Itu antara soalan-soalan glamer yang ibu bapa selalu tanya. Dalam artikel itu, penulisnya menyarankan ibu bapa bertukar soalan untuk guru.

Apa bakat anak saya yang cikgu nampak.
Bagaimana saya boleh bantu anak saya mencungkil bakatnya?

Masa ibu jadi pengusaha tadika pun, ibu tak pernah dapat soalan macam ni.



Monday, November 26, 2018

Bersyukurlah jika anak anda seorang Melankolik

Teks: Yasmin Ismail

Bersyukurlah jika anak anda seorang Melankolik kerana mereka memahami dunia yang lebih besar dan mahu membawa kebaikan kepadanya.

1. Walaupun anak-anak Melankolik selalunya serius, ianya bukanlah masalah besar. Jika layanan ibu bapa kepada mereka juga serius dan tidak merendah-rendahkan, anak-anak Melankolik akan merespons dengan lebih ceria.

2. Mereka perlukan masa untuk menyepi dan bersendiri dan dalam waktu itu mereka mempunyai upaya untuk melakukan koreksi diri sendiri dan mencapai keseimbangan emosi.

3. Anak-anak Melankolik tulus dan jujur dalam mengatakan hal yang benar. Mereka pandai menyampaikan buah fikiran mereka secara tepat dan ringkas. Ibu bapa tidak dibuat tertanya-tanya akan apa yang berada disanubari mereka.

4. Secara semulajadinya mereka pendiam dan tidak peramah. Mereka adalah pemikir berat dan kita perlukan fikiran reflektif mereka. Walaubagaimanapun, persahabatan yang sedikit yang mereka bina sangat utuh.

5. Mereka cepat menangkap kesilapan yang di lakukan oleh ibu bapa dan orang sekeliling mereka. Kelebihan yang ada pada mereka ialah mereka mudah mengesan masalah yang timbul dan jalan penyelesaiannya.

6. Memberi tumpuan yang tinggi ialah bakat mereka dan mereka bersemangat untuk menambah baik dan menambah nilai semua perkara. Seringkali mereka terlalu fokus dan tidak menghiraukan apa yang berlaku disekeliling.

7. Oleh kerana corak pemikiran mereka hanya dua iaitu hitam atau putih sahaja, anak-anak ini mempunyai pendirian yang tegas dalam apa jua yang mereka putuskan.

Bersyukurlah jika anak anda Flegmatik

Teks: Yasmin Ismail

Bersyukurlah jika anak anda Flegmatik kerana ia menolong anda berhubung dengan emosi anda.

1. Anak-anak Flegmatik mudah tersentuh dan menangis oleh kerana banyak perkara. Hormatilah jiwa mereka yang halus dan ia juga membawa kehalusan dalam emosi ibu bapa juga.

2. Suara mereka yang lembut akan membawa anda ke satu mood yang damai.

3. Mereka sangat teliti tentang sekecil-kecil butiran dan ketelitian ini sangat bermakna bagi kehidupan yang selesa.

4. Mereka bergerak dengan kadar sederhana dan tidak tergesa-gesa. Ini memberi ketenangan kepada ibu bapa dalam tugas seharian menguruskan keluarga.

5. Mereka berbakat membuat rancangan yang teliti dan difikirkan dari semua aspek dengan penuh timbang rasa.

6. Segala keputusan yang perlu mereka ambil akan di timbang dengan saksama dan teratur. Mereka tidak tergopoh-gapah dan selesa mengambil masa.

7. Mereka berperawakan lemah-lembut dan tenang, namun mereka lambat untuk menjadi mesra dengan orang yang baru dikenali.

Bersyukurlah jika anak anda Kolerik

Teks: Yasmin Ismail

Bersyukurlah jika anak anda Kolerik kerana mereka mengekalkan anda dalam keadaan aktif.

1. Anak-anak Kolerik suka meneroka banyak benda dan asa ingin tahu dan belajar yang sangat tinggi.

2. Mereka bersuara lantang dan secara fitrah berani tampil dan berpidato.

3. Dengan berani dan yakin mereka terjun dalam apa jua bidang yang diminati. Mereka tidak takut meengambil risiko dan melakukan kesilapan.

4. Mereka mempunyai tekad yang kuat apabila mereka sudah meletakkan matlamat dan mereka tidak hairan jika ditegah atau dilarang oleh ibu bapa.

5. Mereka perlu bergerak berterusan untuk maju dan selalunya mereka berbuat sesuatu untuk menarik perhatian dan mendapat reaksi dari ibu bapa.

6. Walaupun mereka tidak teliti dengan butiran-butiran yang kecil, semangat untuk berjaya di dalam diri mereka sangat tinggi.

Bersyukurlah jika anak anda seorang Sanguin

Teks: Yasmin Ismail

Bersyukurlah jika anak anda seorang Sanguin kerana mereka menceriakan suasana dan mengajak kita berlapang dada dengan perkara yang baru.

1. Anak Sanguin senang beradaptasi dan terbuka kepada peluang-peluang baru. Mereka berupaya mengubah pendirian mereka sekelip mata.

2. Mereka tidak segan-silu meyuarakan pendapat dan mempertahankan pendirian mereka.

3. Walaupun perhatian mereka senang beralih, ibu bapa senang melorongkan perhatian mereka kepada hal yang bermanfaat.

4. Mereka selalu menukar perkara berat dan serius kepada jenaka dan ini dapat membantu mood ibu bapa.

5. Mereka senang memaafi dan melupakan salah dan silap.

6. Mereka tidak dapat dijangka kerana mereka cepat bosan, jadi ibu bapa juga tidak terperangkap dalam satu aktiviti dengan lama.

Ciri-ciri anak Melankoli

Teks: Yasmin Ismail

Melankoli ialah anak yang serius. Mereka terlihat sangat matang kerana cara mereka mengenali dunia ialah melalui daya intelek. Mereka cepat memahami situasi-situasi orang dewasa yang tidak mudah dijelaskan kepada kanak-kanak. Mereka banyak menggunakan pemerhatian, pengkajian, pembacaan dan penelitian untuk mengetahui satu perkara. Oleh kerana mereka banyak introspeksi, maka anak-anak Melankoli boleh duduk diam dalam kesepian dalam jangkawaktu yang lama.

Anak-anak Melankoli sangat tulus dan berterus-terang. Mereka mengatakan sesuatu perkara dengan tepat dan tidak suka berbasa-basi. Kesan dari ini, orang-orang disekeliling mereka kadang-kadang berasa tidak selesa dengan kejujuran mereka yang tidak berlapik walaupun ianya satu kebenaran.

Antara kekuatan yang ditunjukkan oleh anak-anak Melankoli ialah cekap, analitik dan buat kerja sampai habis dengan cermat. Mereka berasa dihargai apabila penghormatan diberi dan diterima.



Ciri-ciri anak Kolerik

Teks: Yasmin Ismail

Meninjau personaliti anak Kolerik, ibu bapa akan mendapati anak yang aktif dan bersemangat. Tidak mudah putus asa, anak-anak Kolerik mempunyai matlamat yang jelas dan tiada masalah dalam motivasi diri sendiri untuk mengapai matlamatnya.

Mereka berhubung dengan dunia secara fizikal dan mereka menggunakan sepenuhnya kelasakan dan keberanian mereka untuk pengalaman baru. Usaha mereka yang gigih dan tidak mengenal erti mengalah ini dilihat sebagai suatu aset yang besar. Mereka juga anak-anak yang suka menonjol dan tidak segan-silu mempertontonkan hasil usaha mereka.

Selalunya sibuk dengan kerja mereka, bertenaga dan berterusan berusaha, anak-anak Kolerik sering dilabel anak yang mempunyai iltizam yang tinggi. Mereka ialah ketua yang menyusun permainan dalam kalangan kawan-kawan sepermainan dan ketegasan mereka patut dicontohi personaliti lainnya.




Ciri-ciri anak Flegmatik

Teks: Yasmin Ismail

Anak-anak Flegmatik ialah anak yang sensitif, tapi bukan bermakna mereka ini mudah tersinggung. Sensitif disini ialah kemahiran emosi yang lahir secara naluri iaitu mereka sangat prihatin kepada emosi orang lain. Mereka lebih dahulu tahu jika ibu bapa merasa sedih, tertekan, gembira atau bahagia. Dikala ibu bapa berasa stres, anak yang menghulurkan empati ialah anak-anak Flegmatik.

Ini berlaku kerana mereka meneroka dunia mereka melalui perasaan dan emosi mereka. Sesuatu yang orang lain anggap biasa akan memberi kesan yang mendalam kepada anak Flegmatik. Mereka memerlukan emosi mereka diakui dan juga keluarga yang saling berkomunikasi.

Mereka kerap digambarkan sebagai lemah-lembut, prihatin dan bertanggung-jawab. Anak-anak Flegmatik mempunyai perwatakan yang lembut danmenyenangkan semua orang. Mereka selalunya senang bergaul dan mudah diajak berbincang.

Ciri-ciri anak Sanguin

Teks: Yasmin Ismail

Anak-anak Sanguin sangat penyayang dan kita sebagai ibu bapa dan penjaga dapat merasa kegembiraaan mereka kerana ia dizahirkan dengan tulus dan jujur. Mereka cintakan keceriaan dan dengan natural mereka suka menerbitkan kebahagiaan dalam hati orang lain.

Secara semulajadi, anak-anak Sanguin meneroka lingkungan mereka secara sosial. Mereka peramah dan mudah mesra dengan semua orang. Selalu tersenyum, anak-anak Sanguin mengagah dan melangkah seumpama rerama mencari bunga.

Berseronok dalam apa jua keadaan adalah penting bagi mereka dan mereka mendambakan ibu bapa yang gembira juga. Anak-anak Sanguin selalu dilihat sebagai peramah, senang hati dan ceria. Mereka juga optimis dan mempunyai banyak akal dan buah fikiran.


Punca-punca tantarum anak-anak Melankoli

Teks: Yasmin Ismail

Anak-anak Melankoli ialah anak-anak yang paling kurang menunjukkan perasaannya. Biasanya kalau ada anak yang dilabel 'tak ada perasaan', besar kemungkinan anak itu adalah anak Melankoli. Apa yang tidak difahami ramai ialah bukannya anak Melankoli tidak mempunyai perasaan, tetapi mereka adalah juara mengendali emosi mereka sehingga ternampak seolah-olah mereka seperti patung bernyawa.

Kebiasaannya anak-anak Melankoli banyak memerhati kelakuan orang lain dan mereka belajar dengan cara pemerhatian, hasil bacaan dan analisa perasaan mereka. walaupun kelihatan tidak berperasaan, sebenarnya banyak yang berlaku di dalam dunia mereka yang terletak diminda Melankoli.

Anak-anak Melankoli tidak akan cepat melenting tetapi jangan disangka mereka boleh dibuli atau diperkotak-katik. Tahap kesabaran mereka juga ada hadnya dan mereka akan menunjukkan taring apabila:-

1. Mereka berasa tidak dihormati. Rasa hormat yang ditunjukkan oleh orang sekeliling anak-anak Melankolik sangat penting bagi mereka. Mereka akan membalas penghormatan yang diberikan kepada mereka dengan penghormatan yang berlipat ganda. Justeru mereka akan berasa tersisih dan kecewa jika mereka direndahkan.

2. Jika mereka tidak diberi masa dan ruang untuk muhasabah diri, merenung kembali atau fokus tentang sesuatu dengan tenang. Anak-anak Melankoli tidak memerlukan dunia luar untuk meneroka, cukup saja dengan minda mereka. Keadaan yang kucar-kacir, hinggar-binggar dan bingit akan mengacau penyusunan pemikiran yang mereka lakukan sepanjang masa.

3. Sesuatu yang menyebabkan anak-anak Melankolik berasa malu sangat memberi tekanan kepada mereka. Anak-anak Melankolik selalunya akan berusaha sedaya-upaya supaya tiada apa yang belaku dapat meenjatuhkan air muka mereka. Pada mereka aib dan maruah sangat perlu dijaga.

Punca-punca tantarum anak-anak Kolerik

Teks: Yasmin Ismail

Anak-anak Kolerik ialah anak-anak yang aktif dan penuh semangat. Mereka mengenali dunia mereka menerusi pergerakan fizikal. Mereka juga sangat lincah dan bertenaga kerana energi mereka ialah ekstrovert.

Personaliti mereka juga sangat menonjol dan ibu bapa akan mendapati anak-anak Kolerik paling banyak membuat tantarum. Ini adalah cabaran terbesar ibu bapa dalam membesarkan anak-anak Kolerik dan jika ibu bapa tidak memahami punca tantarum anak Kolerik, ibu bapa akan stres sepanjang zaman kanak-kanak Kolerik.

Anak-anak Kolerik sangat ekspresif dan lantang. Ibu bapa akan cepat perasan jika anak-anak Kolerik sakit hati dan tidak dapat mengawal emosi mereka. Tantarum akan ditunjuk apabila:-

1. Tiada atau kurang saluran untuk bergerak secara fizikal. Contohnya jika anak-anak Kolerik disuruh membaca dengan senyap atau mendengar cerita dengan diam, mereka akan memberontak. Lebih teruk lagi jika anak-anak Kolerik dikehendaki melalui sesi mentelaah yang panjang. Badan mereka manjadi resah dan meronta-ronta untuk bebas bergerak.

2. Bila permintaan mereka banyak kali ditolak dan terlalu banyak larangan. Anak-anak Kolerik akan berasa lemas dan tidak dihormati kerana pergerakan mereka dibatas. Mereka akan tunjuk perasaan sehingga mereka bebas semula.

3. Ada sesuatu dalam kehidupan anak-anak Kolerik yang menambat mereka atau yang meyekat mereka contohnya ibu atau ayah yang terlalu garang. Pemahaman bahawa anak-anak Kolerik perlu bergerak dan meneroka dengan aktif sukar difaham kerana selalunya anak-anak Kolerik suka bertindak lasak dan mengambil risiko.

Punca-punca tantarum anak Flegmatik

Teks: Yasmin Ismail

Anak-anak yang selalunya tenang dan bersopan-santun merupakan anak-anak Flegmatik. Mereka mempunyai kawalan diri sendiri yang tinggi dan tidak mudah panik. Disebalik dunia mereka yang tenang, mereka juga melalui tekanan dan punca tekanan bagi mereka tidak dapat dibayangkan oleh personaliti-personaliti yang lain kerana dianggap remeh.

Orang disekeliling selalunya tidak dapat menduga bahawa anak-anak Flegmatik sedang mengalami tekanan kerana mereka pandai berselindung dibalik senyuman yang manis. Namun tantarum anak-anak Flegmatik walaupun ianya tak sekuat personaliti lain, harus dipantau dan diberi perhatian. Anak-anak Flegmatik tidak puashati jika:-

1. Merasakan bahawa diri mereka tidak diendahkan. Apabila mereka diketepikan atau diperkecilkan. Mereka berkecil hati apabila buah fikiran atau luahan mereka tidak didengari atau disambut secara acuh tak acuh.

2. Apabila rancangan atau cadangan yang mereka buat diabaikan. Mereka berasa tidak dihargai dan jauh hati kerana banyak usaha yang mereka telah curahkan untuk membuat rancangan kerana anak-anak Flegmatik ini terlalu teliti dan semua sudut rancangan diambil kira.

3. Sesuatu yang perit berlaku di dalam kehidupan anak-anak Flegmatik. Sebagai contoh, jika mereka dibuli atau didera. Oleh kerana anak-anak Flegmatik melalui kehidupan mereka dengan penuh emosi, pengalaman begini begitu mempengaruhi jiwa mereka dan mereka berasa sangat tertekan dan salah satu luahan ialah tantarum.

Punca tantarum anak Sanguine

Teks: Yasmin Ismail

Anak-anak Sanguine yang ceria dan sentiasa gembira. Mereka pandai mencari keseronokan dalam apa jua yang mereka lakukan. Namun begitu, mereka tidak terlepas dari berasa tertekan dan marah seperti juga tiga personaliti yang lain. Punca yang memberi mereka tekanan sehingga kadangkala mereka juga tantarum ialah:

1. Bila mereka terasa terkongkong dan terlalu banyak sekatan dan kawalan yang dikenakan oleh orangtua. Mereka paling suka meneroka dunia mereka dan mereka akan rasa bosan jika mereka tidak bebas berbuat demikian.

2. Apabila mereka dibiar terlalu lama bersendirian. Oleh kerana mereka perlukan suasana sosial untuk berasa gembira dalam limpahan perhatian dari orang sekeliling, anak-anak Sanguine tidak boleh dibiarkan bersepian terlalu lama. Mereka akan berasa tidak dipeduli dan akan membuat tantarum untuk menarik perhatian.

3. Sesuatua yang terlalu serius yang berlaku dalam hidup anak-anak Sanguine juga akan memberi mereka stres. Contohnya suasana tegang dalam keluarga yang sedang menghadapi perpindahan atau kematian.

Wednesday, November 21, 2018

Eksperimen kedua

Teks: Yasmin Ismail

"Ibu!"

Ibu sedang duduk di tempat ibu di meja makan. Ibu sedang menulis dengan khusyuk. Ibu toleh ke tangga nampak abang bigu termengah-mengah memanjat tangga.

"Entah kenapa tapi Bigu beli ni untuk ibu. Tengok promo tadi dari RM10 jadi RM7.50, Bigu pun belilah"

Bigu keluarkan sebekas kecil aiskrim jenama mahal dari beg plastik tunjuk kat ibu. Ibu senyum aje.

"Oh tu memang ibu rasa nak makan aiskrim".

"Tapi tadi masa Bigu tanya ibu, ibu tak minta pun masa buat list barang nak beli"

"Ibu minta dalam hati".

"Aik, macam tu pun boleh?" Abang Bigu buat muka pelik.

Ibu senyum, cuba nak sembunyikan rasa terkejut eksperimen kedua juga berjaya. Ibu saja je nak test abang Bigu. Tak sangka dapat aiskrim di hari yang panas. Alhamdulillah.




Eksperimen ibu

Teks: Yasmin Ismail

Ibu duduk di meja makan sambil baca buku. Ibu memang selalu duduk di meja ketika membaca. Pagi ini, ibu terasa haus pula.

Tiba-tiba adik datang dari dapur bawa air segelas terus letak atas meja tepi ibu. Ibu senyum saja.

"Terima kasih, adik". Ibu masih tersenyum.

Adik tengok ibu dengan muka hairan. Tapi hairan adik secuit saja.

"Ibu, ibu minta air ke?"

"Ya, adik"

"Ibu minta adik ke?"

"Ya, adik. Adik dengar ke ibu minta?"

"Adik tak dengar kat telinga"

"Adik tak dengar di telinga, habis adik dengar kat mana?"

"Adik dengar dalam hati"

"Ibu pun minta dalam hati, dik"

Adik senyum, ibu pun senyum. Hilang hairan secuit adik.




Tak sangka

Teks: Yasmin Ismail

Senarionya ibu sedang di ruang tamu melipat baju sambil sambil mata menjeling-jeling cerita korea. Susah lipat baju sambil layan drama korea sebab kena baca sarikata.

Mato melompat-lompat dari dapur terus duduk terjelepuk sebelah ibu. Ibu buat endah tak endah saja sebab Mato memang macam tu.

"Ibu, Mato rasa gembira sangat".

Ibu dengar tak dengar sebab multitask tangan dengan mata dan minda campur telinga rasa macam dah overload tapi ibu dapat juga balas,

"Mato gembira hari ni"

Mato duduk menegak, ibu dapat rasa Mato dah sambut balasan ibu sebagai permulaan untuk berbual. Ibu pun pusing pandang muka Mato, bye bye drama korea.

"Mato gembira sebab Allah pilih Mato jadi anak ibu". Dengan senyuman mata sepetnya, terus dia melompat pergi.

Ibu terkesima.




Membaca

Teks: Yasmin Ismail

Malam tadi di meja makan, kami bersembang tentang membaca. Ibu yang mulakan dengan rasa bangga buat pengumuman,

"Adik dah pandai baca".

"Adik baca banyak tadi kan".

Adik pun tersenyum simpul.

"Bagus adik pandai baca umur 6 tahun".

"Kak mimiloma dan abang bigu pun sama dengan adik umur 6 tahun dah pandai baca. Abang lifboy pun 6 tahun juga".

"Abang Goofiq ibu?", adik tanya ibu.

"Abang Goofiq 5 tahun, kak Nuna 4 setengah tahun, tapi yang juara ialah kak titiyaya umur 4 tahun dia dah membaca".

"Wahhhh", adik tepuk tangan.

Mato diam saja pura-pura membelek dan mengkaji ayam goreng atas pinggannya. Ibu sedar Mato diam sebab selalu Mato yang paling kecoh di meja makan.

"Mato pun macam ibu. Kita sama, mula membaca umur 7 tahun".

Baru Mato angkat muka.

Begitulah seadanya, setiap anak itu berbeza, maka raikanlah semuanya. Semua anak diterima di meja.

Tapi tak ada siapa pun yang tanya bila ayah mula membaca.

Monday, November 19, 2018

Empat personaliti

Teks: Yasmin Ismail

Dalam bukunya The Child Whisperer, Carol Tuttle membahagikan empat personaliti anak.

1. SANGUINE
2. PHLEGMATIC (Flegmatik)
3. CHOLERIC (Kolerik)
4. MELANCHOLY (Melankoli)

Keempat-empat personaliti ini ada petunjuknya yang jelas. Jika ibu bapa meluangkan masa bermain atau berbuat aktiviti dengan anak setiap hari, nescaya ibu bapa akan dapat mengesan petunjuk-petunjuk yang diberikan oleh anak secara tak langsung.

Walhal semasa makan juga ibu bapa dapat melihat cara anak-anak makan dan mengagak personaliti anak.

Personaliti anak adalah tulus kerana pada peringkat membesar anak tidak pandai menyorokkan dirinya yang sebenar. Pada umur sebelum enam tahun kita dapay menikmati personaliti anak yang jujur dan terbuka jika kita sebagai ibu bapa menerimanya juga dengan jujur dan terbuka. Hanya apabila anak merasakan dirinya tidak diterima, ia akan melindungi dirinya yang sebenar dan berpura-pura supaya dirinya diterima.

Personaliti ibu bapa

Teks: Yasmin Ismail

Memahami personaliti anak dan kecenderungan anak adalah hanyalah sebahagian sahaja dari proses membentuk hubungan jiwa yang kuat antara orangtua dan anak.

Sebahagian lagi proses itu terletak kepada pemahaman ibu bapa itu tentang personaliti mereka sendiri. Dalam keluarga yang biasa, ibu bapa selalunya tidak faham akan personaliti mereka seterusnya tidak cakna bagaimana mereka sendiri melukakan perasaan anak-anak dengan percakapan atau tingkahlaku mereka.

Hal yang selalu berlaku adalah apa yang penting buat anak dipandang remeh oleh ibu bapa dan begitu juga sebaliknya. Ketidakseimbangan inilah yang sering membuat hubungan menjadi hambar, tegang atau tidak bermakna.

Sunday, November 18, 2018

Personaliti dan energi anak

Teks: Yasmin Ismail

Personaliti anak yang akan saya bentangkan di sini adalah menurut Carol Tuttle dalam bukunya The Child Whisperer. Sistem susunan personality ini bukanlah yang terbaik namun ia menjadi pilihan sebagai contoh yang jelas tentang pembahagian personaliti manusia.

Sistem personaliti Tuttle bukan sistem yang pertama menjeniskan personaliti manusia, Ia juga bukan sistem yang tulen kerana sistem ini juga mengambil hasil kajian dan inspirasi dari sistem-sistem sebelumnya seperti Myers-Briggs, Caygill, Donner, Callaway dan Kitchener.

Walaupun berbeza, kebanyakan sistem pembahagian personaliti manusia akan menetapkan empat kumpulan yang besar dan enam belas kumpulan yang lebih terperinci.

Menurut Tuttle ada empat personaliti dan energi anak-anak. Ia boleh dikenali melalui sikap dan sifat anak. Lebih menarik lagi, ia juga boleh dilihat dari bahasa badan anak dan ciri-ciri tubuh anak.

Contoh bagaimana ibu bapa tidak memahami personaliti anak

Seorang anak kecil berumur lima tahun sering bertekak dengan ibunya. Anak ini di label keras kepala, suka cari pasal dan mempunyai tahap toleransi yang rendah. Ibu bapanya tidak faham kenapa dia bersikap demikian kerana bagi mereka anak ini sudah cukup disediakan segala keperluannya.

Apa yang gagal dilihat oleh ibu bapa anak ini ialah personalitinya yang alami iaitu seorang yang aktif dan mengenali dunianya dengan cara fizikal. Anak ini menggunakan tenaga fizikal dan pergerakannya untuk belajar dan ia paling bertenaga jika di beri kebebasan meneroka alam sekeliling dengan bebas.

Konflik berlaku apabila ibu bapa menyekat anak ini dari keluar rumah dan hanya menyediakan buku-buku, komputer dan telivisyen sebagai alat pembelajarannya.

Dari pengalaman anak pertama, ibu bapa tidak faham mengapa anak lima tahun ini tidak tenang membaca buku atau menonton telivisyen seperti kakaknya. Ibu bapa tidak dapat kenalpasti bahawa sikakak meneroka persekitarannya dengan cara intelektual dan cukup sekadar membaca, memerhati, menonton dan berfikir.

Keluhan ibu bapa

Teks : Yasmin Ismail

Dalam berbual santai dengan ibu bapa tentang anak-anak, ada ibu bapa yang meluahkan kekesalan atas sikap anak-anak yang nampak negatif dan tidak sepatutnya berlaku. Ibu bapa juga kadang kala mengeluh kerana mereka tidak faham punca anak-anak berkelakuan tidak wajar.

Hal ini dapat dipastikan kerana ibu bapa kurang kefahaman tentang personaliti, naluri dan apa yang anak-anak anggap penting. Apabila ibu bapa faham personaliti anak, secara automatik, keluhan ibu bapa akan hilang dengan sendirinya. Tambahan dari itu, ibu bapa akan menemui jalan untuk merangsang dan melonjakkan bakat anak ke tahap yang tinggi.

Perkara ini nampak sangat ideal dan mungkin juga tak tercapai dek ibu bapa tapi sebenarnya ia senang di lakukan, hanya ibu bapa perlu rajin dan peka dengan peribadi anak. 

Perasaan positif dari maklumbalas positif

Teks: Yasmin Ismail

Perkara pertama yang terbesar dalam hidup seorang bayi atau anak kecil adalah orang yang memberikan penjagaan kepadanya. Dalam banyak keluarga penjaga pertama ini ialah ibu atau ayah, pembantu rumah, nenek atau mak saudara.

Apabila bayi membesar penjaga yang bersamanya seharian ialah ibu, nenek, makcik, jiran, pengasuh, pembantu rumah atau bibik, babysitter, pekerja taska atau guru.

Hubungan yang intim akan terbina antara bayi atau anak kecil dengan 'primary caregiver' nya. Pada mulanya bayi tidak tahu bahawa dirinya ialah manusia kecil yang mempunyai autonomi sendiri. Apabila anak kecil itu sedar bahawa dirinya adalah tersendiri dan terpisah dari orang lain, ia mula sedar yang ia mempunyai upaya untuk melakukan perkara-perkara yang dilakukan oleh orang yang lebih tua darinya.

Di saat ini, bayi atau anak kecil akan mula berusaha mendapatkan kemahiran seperti memegang barang, melontar bola, menguis dengan kakinya dan sebagainya.

Seperkara lagi yang berlaku, bayi bukan sahaja melakukan perkara-perkara itu untuk dirinya sendiri. Bayi juga sedar yang ia merasa bahagia jika perkara yang ia lakukan diperhatikan oleh orang lain dan orang itu memberinya maklumbalas positif seperti bertepuk-tangan, bersorak atau sekadar mengangguk dan tersenyum.

Perasaan positif yang dialami oleh bayi apabila maklumbalas positif diberikan oleh orang disekelilingnya, mendorong bayi untuk menjadi ketagih dan berusaha mendapatkannya di setiap peluang yang tersedia.

Friday, November 16, 2018

Bagaimana kalau.

Teks: Yasmin Ismail

Sepanjang perkahwinan, kita mengenali pasangan kita dengan lebih dekat kerana tinggal sebumbung, makan sepinggan dan tidur sebantal. Kita juga melalui detik-detik naik turun dalam perkahwinan dan faham mood dan coping mechanism pasangan kita.

Setelah mendapat cahayamata, kita pun mula nampak cara pasangan kita mendidik anak-anak. Pendekatan pasangan kita mungkin berbeza kerana latarbelakang keluarga kita berbeza. Atau mungkin juga pasangan kita menggunakan kaedah yang sama dengan kita dek serasi dan sekufu keduanya.

Apabila anak-anak makin membesar, kita bahagia dan meniti alam keluarga dengan jayanya. Tetapi bagaimana jika sebenarnya, anak-anak kita mengalami pengabaian emosi. Disebalik tawa mereka tersembunyi rintihan bisu yang tak dapat dizahirkan.

Menjadi seorang ibu

Teks: Yasmin Ismail

Menjadi seorang ibu adalah hal yang cukup indah. Seorang bayi itu anugerah terbesar dan hubungan intim antara ibu dan bayi yang terjalin ketika detik pertama si ibu mencium harum wangi bayinya, menyentuh lembut kulitnya dan menatap wajah suci anaknya adalah kenangan istimewa yang hidup di minda ibu.

Seorang ibu yang menyimpan azam membesarkan anaknya menjadi seorang yang soleh dan berjaya akan berusaha tanpa mengalah untuk memenuhi impiannya. Tiap-tiap ibu yang normal akal dan jiwanya pasti menginginkan yang terbaik untuk anaknya. Walhal seorang ibu yang tidak mengecapi kasih-sayangpun akan tetap tidak lokek mencurahkan kasih-sayang kepada anaknya.

Hal ini juga sama dengan ayah-ayah. Ketika bayi lahir, ayahlah yang berhempas-pulas memastikan kedua-dua orang yang disayanginya dalam keadaan selesa dan keperluan keduanya mencukupi.

Jika ini adalah satu piawai yang disepakati semua orangtua, sepatutnya pengabaian emosi anak tidak akan berlaku.

Sesuatu yang tak disangka

Teks: Yasmin Ismail

Baru-baru ini kmin terasa sungguh penat dan stres lebih dari biasa. Kmin tercari-cari sebabnya. Lama juga kmin menelusuri fikiran sendiri, menjejaki keretapi minda yang bergerak laju setiap hari membawa berbagai rencam fikir.

Justru kmin mendapat kesimpulan, lelah itu pangkalnya kerana cuti midsem anak-anak kolej. Mungkin kerana tiap-tiap hari masak menu yang sedikit istimewa. Tambahan pula kain baju dari kolej juga menyebabkan stres.

Tetapi bila kmin selami lagi perasaan sendiri, bukan juga itu sebabnya. Kalau masak, ada sepasang dua lagi tangan yang membantu. Baju-baju sebakul dua dari kolej juga bukan kmin yang uruskan. Jadi apa puncanya kmin cuba selami lebih dalam.

Kmin termenung seorang, bukan lagi berfikir tapi kali ini merasa dan akhirnya jawapannya datang. Kmin terhidupkan suis tracking untuk semua anak hatta yang pulang dari kolej juga. Mesti ramai yang tak faham suis apa yang kmin nyalakan.

Sebagai ibu kmin tracking anak-anak, sudah makan, mandi, berapa jam tidur, kerja sekolah dan lain-lain. Semuanya kmin track dalam kepala. Sebelum ini suisnya hidup untuk lima orang anak campur ayah mereka dan bapa mertua kmin jumlahnya tujuh orang. Tetapi bila cuti midsem, dalam kegembiraan semua anggota keluarga menyatu, kmin terhidupkan untuk semua sepuluh orang.

Patutlah kmin letih dan rasa sedikit tertekan. Bila kmin sedar dah tersalah hidup suis, kmin cepat-cepat matikan. Tak perlu tracking tiga anak kolej. Mereka sudah tidak perlu berada dalam radar ibu.

Alhamdullilah kmin capai semula titik keseimbangan. Nota pada diri: Lain kali jangan hidupkan suis secara auto. Mesti lakukan secara manual dan cakna suis dipasang untuk siapa.


Tuesday, November 13, 2018

Tujuan utama kanak-kanak.

Teks: Yasmin Ismail

Tujuan utama seorang kanak-kanak semenjak hari ia dilahirkan ialah membina dirinya sendiri. Seorang bayi yang lahir tidak ada kemahiran selain dari menangis dan kadang-kadang tersenyum. Cuma tangisannya sahaja yang digunakan untuk berkomunikasi walhal senyumannya hanyalah pergerakan spontan otot dimukanya dan bukanlah satu pergerakan dalam kawalannya.

Namun, bayi yang tidak boleh berbuat apa-apa itu dalam masa tiga bulan sahaja boleh mengiring, dalam masa enam bulan mampu duduk tanpa sokongan dan dalam lebih kurang setahun kebanyakannya boleh berjalan.

Jadi, apa yang membuatkan bayi berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapat kemahiran, mengasahnya sehingga berjaya tanpa penat dan jemu. Tiada siapa yang petlu menyuruh bayi untuk meniarap pada usia empat atau lima bulan namun itulah yang dilakukan seharian oleh bayi.

Dari fasa meniarap, tiada siapa yang beri arahan kepada bayi supaya mengesut ke hadapan atau ke belakang sebagai persiapan untuk merangkak. Bayi seolah-olah sudah ada program yang dimuatnaik dan ia berusaha mengikut jadual program tersebut.

Maria Montessori pengasas kaedah pengasuhan kanak-kanak Montessori berpendapat bahawa kanak-kanak secara fitrah bertujuan dengan bersungguh-sungguh mencapai tahap berdikari. Dalam usahanya mencapai tahap berdikari, ia mencipta kesempurnaan dirinya dan melangkaui rintangan yang menghalanginya. Ini tercatat dalam Montesori yang terkenal iaitu 'The Absorbent Mind'. Sir Percy Nurn juga menyatakan tentang semangat dalaman yang membimbing dan mendorong kanak-kanak memenuhi tujuan mereka dan menamainya sebagai 'horme'.

Montessori seterusnya membuat pemerhatian yang saksama tentang kanak-kanak dan menyatakan bahawa kanak-kanak meraikan kehidupan. Kanak-kanak senantiasa penuh semangat, sentiasa gembira.




Cabaran anak yang melalui pengabaian emosi

Teks: Yasmin Ismail

Anak-anak yang melalui pengabaian emosi membesar dengan penuh cabaran. Walaubagaimanapun cabaran ini tidak difahami oleh orang biasa dan tidak pula dapat dikesan anak ini sedang bersusah-payah melaluinya. Anak-anak ini menggagahi dengan mencekau kekuatan dari kawan-kawan, guru-guru, program televisyen atau dari kisah-kisah yang mereka baca dalam buku cerita.

Mereka senang memahami kisah-kisah dongeng seperti Cinderella dan Snow White. Mereka dambakan pendengar yang setia seperti Bagheera dalam kisah Jungle Book, ibu Andy yang prihatin dalam filem Toy Story dan ayah yang penyayang seperti ayahnya Pinocchio.

Oleh kerana perasaan kanak-kanak mereka tidak mendapat pengiktirafan mereka terperangkap dalam belenggu yang sukar mereka faham.

Mereka sukar mengetahui perasaan mereka sendiri sedari mereka kecil sehingga dewasa. Bukan sahaja mereka gagal mengetahui perasaan mereka, mereka juga sukar percaya kepada intuisi mereka. Mungkin juga pada satu ketika mereka memgetahui perasaan mereka sama ada marah, benci, sedih atau kecewa, mereka tidak memahami mengapa mereka merasai emosi tersebut. Lanjutan dari itu, mereka juga sukar memahami perasaan orang lain.

Mereka berasa tidak puas hati, merasa terpinggir atau sepi kerana mereka tidak mendapat penerimaan yang sewajarnya dari orangtua.

Mereka juga mempunyai masalah untuk mempercayai dan sukar bergantung harap kepada orang lain. Mereka kelihatan sangat berdikari tetapi sebab sebenar mereka berdikari ialah mereka tidak mahu terhutang budi kepada sesiapapun.

Mereka dapat merasa sesuatu yang tidak kena dengan diri mereka tetapi sukar untuk mereka tangkap apakah sebenarnya kekurangan itu.


Penderaan anak-anak

Teks: Yasmin Ismail

Penderaan adalah satu tindakan yang dilakukan oleh penjaga yakni ibu bapa atau pengasuh. Penderaan ada beberapa bentuk dan ianya selalunya dapat dilihat kerana ada kesan fizikal ataupun kesan kepada tingkahlaku anak yang didera.

Penderaan terbahagi kepada lima. Yang pertama adalah pengabaian. Selalunya pengabaian adalah dari sudut fizikal dan dimanifestasikan oleh keadaan fizikal anak yang terbiar, kurang nutrisi, kotor dan sebagainya. Pengabaian fizikal senang dicam dan jika dikenalpasti, tindakan yang diambil selalunya pantas. Pengabaian emosi pula kurang mendapat tumpuan kerana ia terselindung dan sukar dikesan. Ia juga tidak dapay dikesan oleh anak yang sedang mengalaminya.

Jenis penderaan yang kedua adalah penderaan fizikal. Penderaan jenis ini juga dapat dilihat dari tanda-tanda fizikal yang terdapat di badan mangsa. Kesan penderaan ini ada bukti yang penderaan fizikal telah berlaku.

Penderaan lisan adalah penderaan yang sering berlalu secara berleluasa di negara kita namun di anggap sebagai perkara biasa. Oleh kerana itu, penderaan lisan sangat sukar dibuktikan dan mangsa penderaan jenis ini banyak di suruh bersabar dari digalakkan untuk membawa kes ke muka pengadilan. Namun kesan penderaan lisan terhadap anak-anak teramat besar untuk dibiarkan sahaja.

Penderaan yang seterusnya ialah penderaan seksual dan ia banyak dilaporkan di media dan kebanyakan kes penderaan seksual ini begitu menyayat hati. Penderaan seksual selalunya dilakukan oleh orang-orang yang dekat dan mempunyai akses kepada mangsa.




Menyelami perasaan anak yang melalui pengabaian emosi

Teks: Yasmin Ismail

Anak-anak yang melalui pengabaian emosi sebenarnya tidak tahu apa sebenarnya yang mereka alami. Mereka tidap dapat menangkap bahawa mereka sedang melalui suatu trauma yang besar kerana mereka tidak pernah merasai pengasuhan yang sepatutnya.

Jiwa mereka merintih tapi mereka sukar menyatakannya dengan kata-kata. Mereka tahu hati mereka berhiba tetapi punca sebenar dari kesedihan yang mereka alami tidak dapat mereka faham.

Orang-orang sekeliling juga tidak dapat mengesan lara disanubari anak-anak ini kerana dari segi luaran mereka seperti anak-anak lain yang cukup makan dan pakai. Pergaulan mereka juga tidak namlak beza dari anak-anak biasa kerana sifat kanak-kanak yang selalu bersemangat dan ceria.

Disebalik keceriaan dan semangat yang ditampilkan oleh anak-anak yang melalui pengabaian emosi adalah satu dunia yang gelap dan sepi. Mereka merasa kosong di dalam dunia ini dan merasa kehilangan sesuatu tetapi mereka tidak tahu apa yang mereka hilang.

Semakin lama mereka berusaha menumpulkan perasaan mereka dan ini membuatkan mereka mula terpisah dari perasaan mereka sendiri.

Anak-anak ini akan mudah mengalah dalam cabaran-cabaran kehidupan harian, kerapkali mereka tidak akan mahu mencuba perkara baru. Emosi mereka juga sukar dikawal adakala mereka mudah melenting, berasa tekanan yang tinggi dan mudah merajuk atau terlalu sensitif apabila permintaannya ditolak.

Anak anak ini juga selalunya akan menuntut kesempurnaan dari diri sendiri dalam apa-apa hasilkerja dan kadangkala kesempurnaan ini juga dituntut dari orang lain juga.

Mereka juga mengalami kecelaruan dengan diri sendiri dan orang lain. Mereka sukar mengetahui apa yang mereka mahukan dari diri sendiri dan juga apa yang orang lain harapkan dari mereka.

Hal ini amatlah susah untuk difahamkan kepada orang yang tidak melaluinya dan apabila diceritakan, ianya mungkin kedengaran seperti dibuat-buat atau satu khayalan.

Bagaimana pengabaian emosi berlaku

Teks: Yasmin Ismail

Ibu bapa yang kurang cakna, tidak menghargai atau kurang respons kepada emosi anak dengan secara sedar atau tidak memberi signal bawah minda sedar (subliminal message) kepada anak iaitu:

'' Perasaan awak tak penting''

Cuba bayangkan jika mesej ini disampaikan kepada anak beberapa kali setiap hari. Oleh kerana jiwa anak yang halus, kesan dari mesej minda separa sedar ini sangat besar dan mencacatkan jiwa anak.

Anak ini tidak tahu apa yang berlaku dan ia hanya menerima input positif ini dan tidak tahu bahawa input ini merosakkan jiwanya. Anak tidak tahu mekanisme untuk menepis input negatif ini sehingga dewasa dan membawa semua kerosakan jiwanya ke dalam semua hubunganya dengan pasangannya, bosnya dan kawan-kawannya.

Anak yang melalui pengalaman bahawa perasaannya adalah tidak penting akan merasa kesepian dan keseorangan kerana dia merasakan dirinya tidak membawa sebarang makna kepada sesiapapun.

Pengabaian emosi

Teks: Yasmin Ismail

Pengabaian emosi (emotional neglect) mula dicatat oleh Dr. Jonice Webb. Tulisan-tulisannya boleh dibaca di www.drjonicewebb.com.

Dr. Jonice Webb memberikan definisi pengabaian emosi sebagai

'Kegagalan ibubapa memberi tindakbalas yang cukup kepada keperluan emosi anak'.

Anak yang cukup dari segi fizikal seperti rumah untuk berlindung, makanan dan pakaian masih boleh mengalami pengabaian emosi jika keperluan emosinya tidak dipeduli oleh orangtuanya.

Dr. Webb menegaskan bahawa pengabaian emosi tidak boleh disamakan dengan layanan buruk atau penderaan. Terdapat perbezaan yang nyata antara keduanya tetapi hal ini tidak disedari oleh ramai orang.

Layanan buruk dan/atau penderaan kedua-duanya adalah tindakan nyata oleh ibu bapa. Namun pengabaian emosi adalah kegagalan ibu bapa bertindak.

Pengabaian emosi berlaku apabila ibu bapa tidak perasan, tidak mengendahkan, tidak peduli, tidak memberi respons yang betul kepada perasaan anak.

Pengabaian emosi adalah suatu yang tidak berlaku iaitu anak tidak dapat keprihatinan yang sepatutnya dan okeh kerana itu pengabaian emosi itu tidak ketara, terselindung dan sukar diingat semula.

Pembentukan jiwa dan raga yang sihat

Teks: Yasmin Ismail

Kita semua maklum bahawa jiwa bayi yang baru lahir adalah polos iaitu ia bersih dan suci secara fitrahnya. Bayi dicorakkan oleh orang yang menjaganya selalunya ibu dan ayah kemudiannya datuk dan nenek serta saudara-mara yang lain. Juga termasuk dalam penjaga adalah pembantu rumah, pengasuh, pekerja taska dan jiran tetangga.

Menurut John Bowlby seorang doktor, Attachment Theory menyatakan bahawa untuk membentuk sahsiah atau jiwa raga yang sihat, kita perlu peka kepada emosi bayi. Dengan cara ini dan pengasuhan yang cukup, bayi dan anak kecil belajar untuk menenangkan diri sendiri dan membina jati diri yang utuh.

Ada lima cara yang disarankan untuk membangun satu hubungan yang peka antara bayi dan ibu atau pengasuhnya. Teknik-teknik ini nampak mudah tapi adalah sangat berkesan bagi ibu dan anaknya dan hubungan yang akan terjalin adalah sangat kukuh dan tidak mudah goyah.

1) Penyusuan susu ibu
Tidak di nafikan bahawa susu ibu adalah hak seorang anak. Bayi yang disusukan dengan susu badan mendapat nutrisi yang lengkap dari ibunya pada setiap kadar tumbesarannya. Bayi juga mendapat manfaat antibodi dan perlindungan dari jangkitan kuman kerana sifat susu ibu yang nyah kuman dan antikulat.

2) Eye contact
Bayi yang baru memang banyak tidur tapi pada kebanyakan masa jaganya, bayi dalam dakapan ibunya iaitu waktu menyusu. Tidak kira menyusu badan atau botol, diwaktu ini ibu paling dekat dan eye contact paling wajar berlaku. Kasih sayang seorang ibu akan menyebabkan seorang ibu dan ayah tidak jemu-jemu menatap wajah bayinya. Eye contact dengan bayi ini adalah sangat penting bagi menjalin hubungan antara jiwa orangtua dan anak.

3) Sentuhan kulit.
Salah satu deria yang perlu dihidupkan menurut Attachment Theory adalah deria rasa sentuhan kulit. Mengusap, membelai dan memegang kulit bayi memberi bayi input yang positif. Selain menenangkan bayi dan membuatnya rasa selesa dan selamat, sentuhan kulit juga membuat bayi mengerti bahawa dirinya disayangi, diberikan perhatian, dihargai dan dimanjai. Ia adalah satu komunikasi tanpa bahasa yang memaknai kehidupan bayi.

4) Pengasuhan dari ibu atau ayah dirumah sendiri sekurang-kurangnya selama lima tahun
Teknik ini amat penting bagi seorang bayi untuk membesar sebagai anak kecil yang yakin dan utuk peribadinya. Namun, dalam dunia kita yang moden ini, situasi ideal begini, ia adalah amat sukar ubtuk dicapai. Jika dapat kira sediakan suasana ini untuk bayi dan anak kecil, ia adalah suasana membesar yang paling optimum buat bayi.

5) Pengasuhan bertumpukan anak
Corak pengasuhan ini adalah sangat khusus iaitu pengasuhan yang memberikan perhatian kepada setiap keperluan anak dari segi emosi, fizikal dan spiritual. Pengasuhan begini memerlukan ibu bapa melengkapkan diri dengan ilmu keibubapaan sebelum menimang cahaya mata. Teknik ini juga menuntut ibu bapa mengasuh dengan akal dan hati. Bukan hanya sambil lewa dan sekadar melepaskan batok di tangga.






Tuesday, November 6, 2018

Permulaan

Teks: Yasmin Ismail, 7 September 2018.

Bismillahirahmanirrahim moga Allah mengizinkan, InsyaAllah.

Assalamualaikum wrm wbt. Ini post harian pertama kak min. InsyaAllah istiqomah. Biar kmin kenalkan diri dulu ye. Kalau tidak, rasa kekok sangat.

Nama kmin yang panjang ialah Aliza Yasmin Ismail tapi kmin biasa guna nama ringkas Yasmin Ismail sahaja. Kmin lahir di Muar, Johor dan membesar, belajar, bekerja dan berkeluarga di Kuala Lumpur.

Setelah bekerja di sektor hartanah, pendidikan dan industri perabot, kmin bertekad untuk menjalankan perniagaan sendiri iaitu membuka sebuah tadika. Tadika Tasnim yang berlandaskan konsep Islamic Montessori mewarnai hidup kmin selama 6 tahun beroperasi di Ampang.

Sekarang kmin bekerja dari rumah menterjemah dan menyunting dokumen serta menumpukan perhatian sepenuhnya kepada keluarga besar seramai sepuluh orang ini, alhamdullilah.

Di media blog ini, kmin ingin mengambil peluang untuk mengumpulkan penulisan tentang jiwa anak-anak. Kmin harap artikel-artikel yang kmin tulis ini akan bermanfaat kepada pengkaji-pengkaji atau individu yang mencari maklumat tentang jiwa anak-anak secara am dan pengabaian emosi secara khusus.

Pencarian dan pengkajian kmin sendiri selama dua tahun di alam maya menerusi laman youtube, facebook, laman web dan juga buku-buku psikologi menemukan kmin dengan berbagai sumber dan maklumat yang mengejutkan dan kmin percaya ada keperluan untuk maklumat sedemikian dikumpulkan dengan kemas dan teratur.

InsyaAllah dengan usaha kecil ini, kita akan dapat mengenali dan memahami diri kita sendiri dan juga orang di sekeliling kita.

Jemput baca.